PETALING JAYA: Penggunaan lori elektrik dengan penjejak GPS merupakan antara inisiatif baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selaras pelancaran pusat pengumpulan hasil sawit bersepadu Damar Berkat: Pusat Mengumpul Sawit (PMS).
Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sistem kebolehjejajakan dan teknologi lebih bersepadu oleh syarikat Sustainable Future Sdn Bhd dapat memastikan pengangkutan hasil hanya ke kilang dan pusat pengumpulan FELDA.
Tambahnya, sistem baharu itu juga akan memastikan setiap hasil sawit ditimbang, direkod secara digital dan dipantau dalam sistem telus yang dikendalikan oleh Koperasi Permodalan FELDA (KPF).
“FELDA mengambil inisiatif dengan mengunakan sistem kebolehjejakan dan teknologi lebih bersepadu serta mampan bagi mengurangkan ketirisan. Harapan kami, langkah itu akan memberi pulangan secara terus kepada peneroka.
“Data hasil ini menjadi pangkalan maklumat penting untuk strategi pasaran, subsidi dan logistik, sekali gus memperkukuh daya saing FELDA dalam sektor agrikomoditi negara.
“Sebelum ini, KPF pernah mengalami kejatuhan dividen ekoran kelemahan dalam sistem agihan hasil. Dengan pembaharuan ini, FELDA mensasarkan pemulihan semula kekuatan koperasi sebagai nadi pembangunan ekonomi komuniti peneroka,” katanya.
Ahmad Shabery Cheek berkata demikian ketika melancarkan Damar Berkat: Pusat Mengumpul Sawit (PMS) di Felda Bukit Damar, Pahang baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery turut berkata, pelancaran Damar Berkat: PMS disifatkan sebagai titik permulaan kepada reformasi besar-besaran dalam pengurusan hasil peneroka yang sebelum ini menjadi mangsa kepada rantaian sistem tidak telus didalangi peraih, sindiket penimbang dan agen luar.
“Sistem lama telah membuka ruang kepada ‘singa, buaya dan gajah’ yang menindas peneroka melalui manipulasi harga dan penipuan timbangan. Peneroka kerja siang malam, tetapi hasilnya orang lain kaut.
“FELDA tidak boleh lagi berdiam diri. Ketirisan yang berlaku bukan sahaja merugikan peneroka secara individu, malah FELDA secara keseluruhan dengan anggaran kerugian mencecah RM200 juta setahun akibat kehilangan hasil tidak direkod dan aktiviti luar sistem.
“Mereka (peraih) memanipulasi hasil sawit, ambil untung tanpa usaha, sawit ‘hilang’ di tengah jalan malah pembayaran tidak telus. Situasi ini telah melemahkan kedudukan koperasi dan menjejaskan ekosistem pembangunan luar bandar,” katanya.
Ahmad Shabery Cheek itu turut menekankan bahawa Damar Berkat bukan sekadar pusat pengumpulan fizikal, tetapi simbol perjuangan mengembalikan maruah dan hak peneroka yang pernah terabai.
Ujarnya lagi, langkah itu juga diharap dapat menghapuskan budaya kebergantungan kepada peraih yang selama ini mengambil kesempatan ke atas peneroka yang tidak mempunyai pilihan lain.
“Peneroka tidak lagi perlu menghantar buah sawit ke luar sistem dengan bayaran tidak telus dan dipotong secara tidak sah. Pusat pengumpulan ini turut akan menjadi pangkalan data hasil peneroka yang lebih sistematik, membantu FELDA merancang strategi pasaran, logistik dan bantuan subsidi dengan lebih tepat dan bersasar.
“Ini selaras dengan transformasi FELDA ke arah organisasi yang berdaya saing dan mampan dalam memulihkan semula kepercayaan peneroka terhadap institusi ini, yang sebelum ini sedikit tercalar akibat kelemahan pengurusan dan pengaruh pihak luar,” ujarnya. – UTUSAN