PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjaya mengekalkan hak milik tanah seluas 400 hektar di Felda Sahabat 22 dan 23 susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, semalam.
Jabatan Komunikasi Strategik Felda memaklumkan agensi itu berkata, Felda menghormati keputusan mahkamah yang membatalkan keputusan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah berhubung cadangan penyerahan tanah sebelum ini.
Katanya, ia susulan daripada dakwaan tuntutan berkaitan Tanah Adat Anak Negeri terhadap tanah tersebut.
“Tanah itu diperoleh secara sah oleh Felda melalui pajakan selama 99 tahun berkuat kuasa 1 Jan 1984. Sejak 2009, kawasan ini menjadi subjek tuntutan oleh beberapa kumpulan yang mendakwa sebagai hak tanah adat.
“Bagi mendapatkan pencerahan isu ini, Felda membuat permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat sebelum ini. Dengan keputusan ini, tanah itu kekal di bawah hak milik Felda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Felda berkata, pihaknya akan meneruskan usaha pembangunan dan pengurusan ladang di tanah itu susulan keputusan mahkamah berkenaan.
“Felda komited untuk meneruskan usaha pembangunan dan pengurusan ladang secara mampan demi kepentingan para peneroka serta menyokong pembangunan ekonomi Sabah dan negara secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN










