SHAH ALAM: Laporan awal siasatan mengenai salah laku dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dijangka akan didedahkan minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan terhadap badan berkanun itu dilakukan susulan kerajaan Anw berbelanja sehingga RM980 juta bagi menampung kerugiannya.
“Saya bertanggungjawab terhadap Felda, setiap tahun kita (kerajaan) bayar RM980 juta untuk menampung kerugian. Baru-baru ini rumah-rumah teruk, robek, berpuluh tahun tak dikendali, tak dikawal.
“Saya boleh kata, itu silap dulu, pengurusan dahulu. Kamu sokong, tanggunglah rumah kamu. Tetapi saya tak sampai begitu kerana bukan salah dia (peneroka), maka saya terpaksa luluskan RM450 juta untuk baiki semua rumah-rumah di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-tea Sekretariat Reunion Reformis di sini, hari ini.
Justeru tegasnya, mana-mana individu yang terlibat dalam sebarang salah laku dalam Felda tidak wajar dilepaskan.
“Saya tidak akan menentukan siapa yang akan disiasat, didakwa dan dihukum. Itu adalah prinsip yang harus kita gunakan,” jelasnya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan pertuduhan terhadap dua bekas pegawai kanan Felda berhubung dakwaan penyelewengan dalam projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kertas siasatan bagi projek berkenaan sudah siap dan akan dikemukakan syor pertuduhan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu depan bagi mendapatkan keizinan mendakwa.
Anwar berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi penegasan terhadap usaha-usaha pencegahan rasuah dan salah guna kuasa seperti mana siasatan dilakukan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH).
“Seorang penguat kuasa di bandaran mengambil RM2,000, dapat kau ditangkap, mesti didakwa dan dipenjara. Pendirian Kerajaan Madani dari awal tegas membanteras rasuah.
“Kes Tabung Haji yang mahu dipadamkan, kita bongkar semula dan minta dikuat kuasa. Itu rompakan, sakau. Minggu depan bermula laporan awal tentang Felda. Oh itu dendam, apa dendam? Salah guna kuasa apa?” tegasnya. – UTUSAN











