Jangan tinggalkan Felda dalam pembangunan negara

Jangan tinggalkan Felda dalam pembangunan negara

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua kementerian dan agensi kerajaan diarah tidak meninggalkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Felda tidak boleh lagi dilihat sebagai entiti terasing, sebaliknya kawasan itu mesti dilibatkan secara menyeluruh dalam setiap projek dan inisiatif pembangunan negara.

“Jangan tinggalkan Felda sebagai sebuah kawasan asing, ya dulu begitu makanya Felda ada upaya untuk bangun sendiri.

“Saya kata tidak boleh begitu, setiap kemudahan kerajaan sama ada dari sudut pendidikan, sosial atau apa pun, jadikan Felda sebagai satu kawasan dan sebahagian daripada projek pembangunan negara.

“Sebab itu, dalam tempoh setahun ratusan juta ringgit saya turunkan ke kawasan FELDA pagi penambahbaikan dan saya minta pengurusan Felda dan ahli lembaganya untuk beri pandangan apa lagi yang harus kita usahakan,” katanya ketika berucap pada Sesi Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Kumpulan Felda, hari ini.

Perdana Menteri berkata, dalam tempoh setahun, ratusan juta ringgit telah disalurkan ke kawasan Felda untuk penambahbaikan dan pengurusan Felda serta ahli lembaga digalakkan memberi pandangan mengenai langkah seterusnya yang perlu diusahakan.

Beliau turut memuji usaha Felda memasukkan agenda transformasi digital dalam operasi organisasi bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing sektor perladangan.

“Langkah ini penting untuk memastikan Felda kekal relevan dan mampu bersaing dalam landskap ekonomi moden.

“Usaha memperbaharui hala tuju Felda menunjukkan tanda pemulihan positif selepas menghadapi tempoh mencabar.

“Walaupun Felda pernah melalui fasa pasang surut yang menjejaskan prestasi agensi, pembaharuan yang digerakkan bersama pengurusan dan pasukan khas kerajaan kini memperlihatkan perkembangan memberangsangkan,” katanya.

Tambah Anwar, laporan terkini menunjukkan kerjasama erat antara kepimpinan Felda, pengurusan dan pihak kementerian telah berjaya meningkatkan prestasi operasi dan produktiviti.

“Apabila semua pihak bekerja sebagai satu pasukan, kita dapat menyaksikan perubahan dan prestasi lebih baik. Kesungguhan luar biasa pemimpin, pengurusan serta pekerja Felda jelas untuk mengangkat martabat institusi ini dan menjamin kejayaannya pada masa depan.

“Saya puji keterbukaan pengurusan Felda menerima cadangan bagi memastikan proses pemulihan institusi berkenaan dilaksanakan secara berkesan,” katanya.

Mengulas cabaran lalu, Anwar berkata, beberapa keputusan sukar terpaksa diambil, termasuk langkah mengeluarkan syarikat berkaitan Felda daripada pasaran saham, namun kini menjadi pemangkin bagi memperkukuh kedudukan dan hala tuju baharu organisasi.

Katanya, konsep creative destruction dalam ekonomi boleh dijadikan pengajaran dalam membangunkan semula Felda.

“Keruntuhan terdahulu perlu dijadikan pengajaran supaya ketirisan, tadbir urus lemah dan ketamakan tidak berulang.

“Dari pengalaman itu, kita bangunkan semula dengan idea baharu, pengurusan lebih telus serta prinsip amanah dan akauntabiliti kukuh.

“Felda bukan sekadar entiti ekonomi, tetapi memainkan peranan sosial penting dalam pembangunan komuniti peneroka, menyediakan kemudahan sosial, pendidikan dan kebajikan di seluruh negara berbeza dengan syarikat swasta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×