BUTTERWORTH: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedang berbincang dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bagi memohon pelanjutan tempoh pajakan tanah tapak kilang penapisan gula milik MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM Prai) di sini sehingga 30 tahun.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, rundingan itu penting bagi mencari kelonggaran untuk menentukan tempoh penggunaan tanah sebelum Felda berupaya memindahkan operasinya ke lokasi baharu.
“Kalau boleh, biarlah tempoh operasi di sini dilanjutkan sehingga 30 tahun. Mengikut perjanjian asal, baki tempoh operasi hanya (tinggal) sekitar lima tahun lagi,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kilang berkenaan di Perai, hari ini.
Ahmad Shabery berkata, tempoh lanjutan operasi diperlukan bagi membolehkan pihaknya melakukan perancangan termasuk merangka pelan perniagaan dengan lebih teliti.-UTUSAN










