KOTA BHARU: Keluarga kepada Eda Ezrin menerima keputusan Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand yang melanjutkan tempoh tahanan selama sebulan lagi kepada penyanyi itu bermula semalam.
Bapa kepada penyanyi yang terkenal dengan lagu Bea Sobar Bea itu, Wan Ismail Wan Yusuf, 52, berkata, seluruh ahli keluarga menghormati keputusan tersebut malah memang sudah menjangkakan keputusan itu sejak dari awal.
“Kami menghormatinya, kerana semasa mahkamah membuat keputusan Eda Ezrin, suami dan empat rakan lain bebas sebelum ini perkara tersebut sudah dimaklumkan.
“Semasa mahkamah putuskan anak saya bebas, saya sudah bersyukur, ketika ini keluarga hanya mampu berdoa semoga segala urusan dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mahkamah Wilayah Narathiwat menetapkan penyanyi Eda Ezrin yang nama sebenarnya, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail bersama suami dan empat lagi rakan mereka terpaksa tinggal dipenjara sebulan lagi bermula kelmarin.
Ia selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat memberi kebenaran kepada Pendakwa Raya Wilayah untuk melanjutkan tempoh mengemukakan permohonan rayuan berhubung pembebasan enam rakyat Malaysia itu pada 2 April lalu. – UTUSAN










