Cuba cetuskan provokasi, tapi kes saman tetap jalan- Naqiu - Utusan Malaysia

Cuba cetuskan provokasi, tapi kes saman tetap jalan- Naqiu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes saman membabitkan penyanyi, Naqiu terhadap individu yang menipunya hingga mengalami kerugian RM100,000 masih berjalan walaupun pihak tersebut didakwa cuba menimbulkan provokasi di media sosial, baru-baru ini.

Dedah Naqiu atau Wan Naqiuddin Mohd Najib, 38, lantaran gagal memujuknya untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah, individu tersebut cuba menyebarkan fitnah kononnya Juara Gegar Vaganza 2019 dikawal oleh pengurusan yang bermasalah.

“Saya ada dapat mesej daripada individu tersebut sebelum puasa, dia berkias mahu ‘settle tepi’, tapi pada masa sama tetap mahu menyalahkan pengurusan saya kononnya ada cubaan memerangkapnya.

“Saya katakan, pihak pengurusan saya ada simpan semua bukti yang mengatakan pihaknya tidak membayar saya sesuai perjanjian. Jadi dia kena lalui juga semua proses saman ini.

“Bukan itu sahaja, ada juga percubaan memburukkan saya di media sosial. Dia cuba tularkan fahaman kepada peminat saya dengan memburukkan pengurusan. Perkara itu dia terlepas cakap di sesi siaran langsung sehingga ada yang sampaikan kepada saya.

“Sehingga saya ada baca komen mengatakan saya macam lembu kena cucuk hidung, ikut sahaja apa yang dikatakan pihak pengurusan,” katanya.

Naqiu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status terkini kes saman terhadap individu yang didakwa gagal melunaskan bayaran seperti dalam kontrak.

Bagaimanapun, tegas Naqiu, dia enggan melayan segala spekulasi yang berlegar di media sosial sebaliknya tetap memilih menyelesaikan kes mengikut saluran undang-undang.

“Saya bukan budak-budak mahu bergaduh di media sosial. Di sini, saya ingin jelaskan kepada orang ramai bahawa sebagai selebriti, segala kerja kami diuruskan oleh pihak pengurusan.

“Setiap undangan persembahan, atau kerja walau sekecil mana pun, akan ada kontrak dan perjanjian. Jika berlaku pelanggaran, pihak tersebut kena bertanggungjawab.

“Dia tidak tipu saya secara peribadi, tapi dia tipu pihak pengurusan saya. Itu yang saya cuba nak jelaskan kepada orang ramai yang tidak faham. Ini bukan perjanjian kawan-kawan, ini profesional, maka carilah saluran yang betul.

“Jika saya sudah turun padang selesaikan kerja, sudah tentu anda kena bayar seperti yang dipersetujui. Kadang saya terfikir mungkin betul, kerja dan kawan tidak boleh disatukan,” tambahnya yang bertegas enggan menutup akaun media sosial.

Naqiu ditemui Utusan Malaysia di restoran Kueh Petaling Jaya, baru-baru ini.

Terdahulu pada Januari, Naqiu melalui peguamnya telah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada seorang individu yang didakwa menggunakan namanya untuk melakukan video promosi sebuah jenama tanpa persetujuan.

Malah, individu tersebut juga dikatakan tidak melunaskan bayaran seperti dipersetujui untuk projek pembikinan sebuah single tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN