PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam dua aksi pemanas badan sebelum berdepan Vietnam pada 10 Jun depan dalam perlawanan kedua kelayakan Piala Asia 2027.
Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski berkata, aksi persahabatan itu penting sebagai persiapan itu penting bagi memastikan para pemainnya berada pada momentum terbaik.
“Kita berdepan situasi di mana musim (Liga Super) berakhir pada penghujung April. Pemain-pemain memerlukan sedikit aksi kompetitif memandangkan liga baru berehat.
“Kita perlu pastikan persediaan kita tepat apabila kita tiba dan kem (latihan) dilanjutkan sedikit untuk fokus kepada Vietnam, lawan kita yang paling sukar.
“Kita akan pastikan persediaan kita tepat dan kita akan bersedia untuk menghadapi perlawanan tersebut,” katanya dalam temubual bersama televisyen tempatan.
Untuk rekod, rata-rata pemerhati dan peminat bola sepak tempatan sebelum ini menyatakan kebimbangan tentang persediaan Malaysia sebelum berdepan Nepal pada aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027.
Bagaimanapun, anak-anak buah Cklamovski memadam segala kritikan dengan merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Nepal untuk mengutip tiga mata pertama dalam saingan kumpulan F.
Bagaimanapun, ujian sebenar bakal menjelma pada aksi kedua menentang Vietnam di laman sendiri dengan kedu-dua pasukan mempunyai misi melayakkan diri ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Harimau Nalay dijangka lebih ‘padu’ pada aksi kedua nanti kerana difahamkan ada beberapa pemain warisan baharu akan memperkuatkan skuad kebangsaan.
Sebelum ini, pencetus revolusi Harimau Malaya, Tunku Mahkota Ismail memaklumkan skuad negara bakal diperkuatkan dengan tujuh pemain warisan baharu menjelang aksi menentang Vietnam.-UTUSAN