BANGKOK: Thailand meminta Kemboja supaya memindahkan mesyuarat dua hala antara pegawai kanan keselamatan minggu depan dari Phnom Penh ke lokasi neutral, susulan ketegangan sempadan yang berlarutan selepas insiden pertempuran maut.
Menurut surat bertarikh 31 Julai, Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Nattaphon Narkphanit, mencadangkan agar Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 4 Ogos itu diadakan di sebuah bandar di Malaysia, memandangkan situasi semasa yang sensitif.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN dan berperanan dalam rundingan gencatan senjata antara kedua-dua negara awal minggu ini, bersedia untuk menjadi tuan rumah mesyuarat tersebut, kata Nattaphon.
“Sesi akan datang ini bersifat luar biasa kerana ia akan memberi peluang kedua-dua pihak untuk bersama meneroka jalan penyelesaian bagi meredakan ketegangan dan menangani isu keselamatan sempadan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar mesyuarat itu dilanjutkan sehingga 7 Ogos bagi memberi lebih masa untuk perbincangan, memandangkan banyak isu berat yang perlu ditangani.
Jawatankuasa Am Sempadan merupakan satu daripada beberapa mekanisme dua hala yang ditubuhkan Thailand dan Kemboja bagi menangani isu sempadan.
Kedua-dua negara bergilir menjadi tuan rumah mesyuarat tersebut, dan kini tiba giliran Kemboja untuk menganjurkannya.
Walaupun kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat, Thailand dan Kemboja masih saling menuduh melakukan pencerobohan tanpa provokasi.
Menurut satu kenyataan, tentera Thailand menubuhkan pasukan pemantau sementara yang terdiri daripada atase tentera negara anggota ASEAN bagi memantau gencatan senjata.- BLOOMBERG










