UniSZA tubuh Hab Pendidikan Google pertama di Malaysia

UniSZA tubuh Hab Pendidikan Google pertama di Malaysia

WAKIL Google untuk Pendidikan Malaysia, Kuah Sze Mei (kanan) menyempurnakan majlis pelancaran Google EduX Hub@Unisza di Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN /NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zai­nal Abidin (UniSZA) mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini menubuhkan Hab Pendidkan Google menerusi pelancaran program Google EduX Hub@UniSZA.

Hab pendidikan digital itu dibangunkan hasil kerjasama strategik bersama Google Education Malaysia bagi memperkasa kemahiran digital abad ke-21 dalam kalangan warga kampus, sejajar aspirasi menjadikan UniSZA peneraju pendidikan digital di Pantai Timur.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, inisiatif itu melibatkan tiga komponen utama iaitu Chrome Grab & Go, Google Certified Educator Program serta latihan Google Workspace dan Gemini.

“Chrome Grab & Go memboleh­kan pelajar meminjam Chromebook dengan langganan Chrome Education Upgrade (CEU) bagi memastikan akses digital inklusif kepada semua pelajar tanpa me­ngira latar belakang.

“Google Certified Educator Program pula adalah latihan intensif kepada pensyarah yang ingin mendapatkan pensijilan antarabangsa Google dan meningkatkan mutu pedagogi digital,” katanya.

Menurut Fadzli, latihan Google Workspace dan Gemini pula ditawarkan secara berterusan secara hibrid untuk pelajar dan pensyarah yang melibatkan penerapan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI), pembelajaran maya dan produktiviti digital.

Beliau berkata, pelancaran program tersebut menjadikan UniSZA kini berada di barisan hadapan dalam penerapan teknologi pendidikan moden melalui platform ChromeOS serta pelbagai alat inovatif Google.

Inisiatif berkenaan juga menyokong matlamat universiti ke arah pembelajaran digital yang sejagat dan inklusif serta membuka ruang luas kepada warga kampus untuk meneroka teknologi pendidikan global.

Ia dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif digital masa depan dan memperkukuh kedudukan UniSZA sebagai contoh utama dalam transformasi pendidikan tinggi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN