PETALING JAYA: Taktik licik sindiket dadah mengisytiharkan bungkusan mengandungi bunga ganja sebagai buku, pakaian dan alatan permainan terbongkar dalam satu operasi di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 April lalu.
Cubaan menyeludup keluar dadah seberat 36.09 kilogram (kg) itu berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit I Kuala Lumpur selepas pemeriksaan mendapati imej mencurigakan ketika bungkusan tersebut diimbas.
Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah jenis bunga ganja bernilai dianggarkan RM3.57 juta.
Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Selangor, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dibungkus dalam pelbagai bungkusan untuk dieksport ke beberapa lokasi di Eropah.
“Pemeriksaan kira-kira pukul 10.50 malam itu mendapati bungkusan-bungkusan tersebut diikrar sebagai buku, pakaian dan alatan permainan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Namun hasil imbasan menunjukkan imej menyerupai bahan organik sebelum pemeriksaan fizikal menemui bungkusan bunga ganja dengan anggaran berat keseluruhan 36.09 kg,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks JKDM Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, semakan mendapati bungkusan terbabit dihantar dari beberapa lokasi termasuk Pulau Pinang, Kuantan dan Lembah Klang.
“Kita percaya bekalan dadah ini diseludup masuk dari luar negara berdasarkan modus operandi serta hasil rampasan dalam operasi terdahulu,” katanya.
Tambah beliau, bunga ganja tersebut dianggarkan bernilai RM98,000 sekilogram berbanding harga ganja biasa sekitar RM3,200.
“Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Ahmad Taufik berkata, JKDM sentiasa bekerjasama dengan pihak polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bagi memutuskan rangkaian penyeludupan dan pengedaran dadah.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang awam agar tidak terbabit dengan jenayah penyeludupan yang bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berhubung kegiatan penyeludupan kepada pihak JKDM melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat Kastam berhampiran,” katanya. – UTUSAN