KUALA LUMPUR: Warga kota bimbang dengan pembangunan pesat di ibu kota yang terlalu hampir dengan saluran paip gas bawah tanah.
Rata-rata warga kota ditemui, mahu pihak berwajib mengambil langkah keselamatan menyeluruh melindungi keselamatan saluran paip gas itu khususnya di sekitar Kampung Bharu, bagi mengelak tragedi letupan paip gas di Putra Heights berulang.
Pengerusi Pangsapuri Kampung Bharu, Mohd. Haniff Bahari, 35, berkata, kewujudan saluran paip itu hanya disedari selepas berlaku insiden letupan di Putra Heights, baru-baru ini.
“Selepas kejadian itu, saya jadi lebih cakna dengan papan tanda di kawasan bandar, termasuk sekitar Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Namun, papan tanda yang ada terlalu kecil dan tersembunyi di celah-celah pokok. Sukar untuk orang nampak dan baca,” katanya.
Beliau turut mendakwa majoriti penduduk di Kampung Bharu tidak mengetahui kewujudan saluran paip tersebut dan pihak berkuasa digesa proaktif memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Pihak berwajib kena ambil iktibar daripada kejadian di Putra Heights. Jangan tunggu sampai tragedi berlaku, baru bertindak. Gunakan media sosial atau saluran rasmi untuk beri maklumat kepada orang ramai,” katanya.
Tegasnya belum ada mana-mana pihak datang memberi taklimat keselamatan atau memaklumkan tentang lokasi saluran paip gas di situ.
Sementara itu, Penyelia Pangsapuri Kampung Bharu, Mokhtar Ibrahim, 67, berkata, papan tanda sahaja tidak cukup untuk menjamin keselamatan saluran paip gas yang ada di sekitar kawasan itu.
“Papan tanda tidak menunjukkan arah saluran paip. Kalau ada projek korek tanah, tidak mustahil insiden di Putra Heights akan berulang.
“Sebagai penduduk tetap di Kampung Bharu, saya sangat bimbang dengan situasi terkini di sini yang tidak boleh dijamin selamat sepenuhnya,” katanya.
Penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Nik Muhammad Aiman Hakimi Marzuki, 22, mengakui tidak menyedari kewujudan papan tanda amaran gas di kawasan universiti itu.
“Saya baru tahu tentang papan tanda itu semasa ditemu bual dan memang risau kalau jadi apa-apa. Kawasan bandar ini sangat berisiko, kalau berlaku letupan, nyawa ribuan orang mungkin terancam.
“Saya risau nasib saya dan kawan-kawan selepas ini jika tragedi letupan gas berulang,” katanya.
Pesara swasta, Stephen Lye, 58, berkata pihak berkuasa dan syarikat terlibat seperti Petronas perlu mengambil langkah proaktif dalam menjamin keselamatan awam membabitkan saluran paip gas.
“Sepatutnya ada pelindung atau pagar yang kukuh, dan lokasi saluran gas dikaji semula supaya tidak terlalu dekat dengan kawasan awam,” katanya.
Ujarnya, kejadian lubang benam yang berlaku di Masjid India dan letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini turut mendatangkan kebimbangan kepada penduduk di sekitar Kampung Bharu.
“Walaupun atas jalan nampak dalam keadaan yang baik, tetapi fizikal (paip gas) bawah jalan tersebut tiada siapa yang tahu, selain pihak berkenaan,” katanya. – UTUSAN