PETALING JAYA: Bank Rakyat menawarkan bantuan khas berupa moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights baru-baru ini.
Menurutnya, bantuan berkenaan merangkumi penangguhan bayaran ansuran bulanan bagi pelbagai jenis pembiayaan termasuk Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Peribadi-i, Kad Kredit-i, Pembiayaan Pajak Gadai-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pembiayaan Pendidikan-i.
Jelas Bank Rakyat, pelanggan yang pernah menerima moratorium sebelum ini juga masih layak untuk memohon bantuan tersebut.
Selain itu, bank turut menawarkan penggantian Kad Debit-i dan Kad Kredit-i secara percuma kepada pelanggan yang terkesan akibat kejadian tersebut.
“Kami memahami kesukaran yang dialami mereka yang terjejas dalam tragedi ini.
“Sebagai sebuah institusi kewangan yang sentiasa prihatin, Bank Rakyat komited untuk membantu meringankan beban kewangan pelanggan melalui inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, moratorium ini diharap mampu memberikan kelegaan kepada mangsa, selain membolehkan mereka menyusun semula kewangan masing-masing dalam tempoh mencabar ini.
Sebagai tanda keprihatinan, Bank Rakyat turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Masjid Putra Heights yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa kebakaran.
“Kami dimaklumkan seramai 485 mangsa kini berlindung di dua PPS iaitu Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).
“Sumbangan ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu menampung keperluan asas mangsa,” katanya.
Difahamkan, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bank Rakyat.
Pelanggan yang ingin memohon bantuan khas moratorium boleh menghubungi Bank Rakyat melalui e-mel di [email protected], Pusat Panggilan di 1300 800 800, atau hadir ke mana-mana cawangan Bank Rakyat berhampiran.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.bankrakyat.com.my atau ikuti media sosial rasmi @mybankrakyat. – UTUSAN