PETALING JAYA: Tidak timbul sebarang pertikaian mengenai kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau Ahli Dewan Rakyat selepas beliau mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong Ke-15.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan media berkenaan satu tindakan mahkamah telah difailkan oleh P. Waytha Moorthy terhadap Anwar bagi mencabar kelayakannya sebagai Ahli Parlimen Tambun dan pelantikannya sebagai Perdana Menteri.
Katanya, asas kepada tindakan tersebut adalah pengampunan diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-15 tidak mengandungi sebarang pembatalan terhadap kehilangan kelayakan Anwar di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Tambahnya, jabatan itu menghormati hak mana-mana individu untuk memfailkan tindakan di mahkamah.
“Dalam hal ini, Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz [2023] 2 MLJ 545 telah memutuskan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengampunkan terhadap sabitan dan hukuman.
“Perintah Pengampunan yang dititahkan oleh YDPA Ke-15 menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.
“Oleh yang demikian, tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Datuk Seri Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri,” katanya hari ini.
Oleh demikian, Jabatan Peguam Negara berkata, sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya.
“Ia sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.
Pada Selasa, Waytha Moorthy memfailkan saman bagi mendapatkan deklarasi bahawa Anwar tidak sepatutnya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tambun pada November 2022 dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri.
Beliau berhujah, pengampunan diraja diterima Anwar pada 2018 tidak menyatakan beliau dikecualikan daripada tempoh hilang kelayakan selama lima tahun untuk bertanding dalam pilihan raya selepas bebas dari penjara.
Waytha juga memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 19 Nov 2022, dan pelantikannya sebagai perdana menteri lima hari kemudian, batal dan tidak sah.










