BUKIT KAYU HITAM: Jajaran baharu menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu bakal melancarkan urusan perdagangan, logistik dan rantaian bekalan selain menyemarak secara khusus pertumbuhan ekonomi kawasan sempadan.
“Hari ini merupakan satu lagi detik bersejarah di negeri ini, khususnya di utara Semenanjung Malaysia, kita berdepan cabaran untuk memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
“Saya percaya keadaan yang sama turut dihadapi di selatan Thailand. Melalui projek baharu ini, kita berupaya menjadikannya sebagai asas untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di kedua-dua wilayah. Ini benar-benar satu pencapaian yang luar biasa,” katanya pada Majlis Pembukaan dan Pengoperasian Laluan berkenaan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan delegasi kedua-dua negara.
Laluan baharu tersebut akan mula dibuka kepada semua pengguna jalan raya pada pukul 6 pagi (waktu Malaysia), esok dan susulan itu, pintu sempadan sedia ada yang menghubungkan Bukit Kayu Hitam ke Danok akan ditutup sepenuhnya bermula pukul 12 tengah malam ini.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian usaha lebih besar untuk mewujudkan zon ekonomi khas sempadan melibatkan utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan sempadan.
“Kita mahu melangkaui hubungan diplomatik biasa dengan mewujudkan zon ekonomi khas sempadan yang melibatkan utara Malaysia dan selatan Thailand bagi memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Anwar berkata, kerjasama itu berpotensi membuka peluang pembangunan baharu kepada negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Perak dan Pulau Pinang dengan sokongan padu daripada kepimpinan kedua-dua negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia dan Thailand turut bersetuju menyelesaikan beberapa isu tertunggak melibatkan kastam, imigresen, perdagangan makanan laut dan urusan perdagangan rentas sempadan dalam kadar segera.
“Kita bersetuju untuk menyelesaikan perkara-perkara ini secepat mungkin kerana ia akan memberi manfaat kepada peniaga dan komuniti perniagaan di kedua-dua negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan memperkemaskan operasi di pintu sempadan bagi mengelakkan kelewatan yang tidak munasabah.
“Tiada sebab lori perlu menunggu berjam-jam atau berdepan kelewatan yang tidak perlu di pintu sempadan. Kita perlukan proses pelepasan yang lebih pantas dan kos yang lebih rendah demi manfaat rakyat,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua negara juga telah membuktikan kemampuan menyelesaikan pelbagai isu berpanjangan melalui komitmen politik dan kerjasama erat.
“Banyak isu yang mengambil masa bertahun-tahun, malah berdekad-dekad untuk dirundingkan, namun sebahagian besar daripadanya berjaya kita usahakan penyelesaiannya dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Anutin atas kesediaan hadir ke kawasan sempadan bagi melihat sendiri keperluan masyarakat setempat kerana sesebuah kerajaan perlu dinilai berdasarkan keupayaan membawa perubahan dan hasil yang nyata kepada rakyat berbanding retorik serta janji semata-mata. – UTUSAN










