SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat koordinasi khas esok bagi menangani isu banjir kilat yang melanda daerah ini dan Klang termasuk Taman Sri Muda.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Setiausaha Politiknya, Saifuddin Shafi.
Jelasnya, ia melibatkan pelbagai pihak termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Langkah segera itu diambil susulan aduan penduduk yang kecewa dan bimbang dengan situasi banjir kilat berulang setiap kali hujan lebat melanda.
“Saya melihat sendiri kesan banjir kilat akibat kadar hujan tinggi minggu ini dan memberi impak terhadap penduduk terutamanya di Taman Melawis dan Taman Sri Muda,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 1,500 penduduk berhimpun secara aman bagi mendesak penyelesaian isu banjir di Taman Sri Muda, Kota Kemuning dan Batu 8 yang kerap melanda kawasan itu sejak bah besar 2021.
Mereka turut menggesa Amirudin supaya turun padang dan memberi penjelasan bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Jurucakap penduduk, K. Umagandhan berkata, desakan itu dilakukan kerana berasa kesal dengan masalah banjir yang masih berterusan sehingga kini.
Tambah Amirudin, pihaknya turut dihubungi penduduk yang resah terhadap situasi berulang kerana komponen rancangan tebatan banjir yang dirasai perlu disegerakan.
“Justeru, saya mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim segera menyelesaikan semua isu yang menghalang kelancaran projek tebatan itu.
“Langkah penyelesaian jangka panjang perlu segera dilaksanakan melalui kerjasama semua pihak kerana tiada siapa mahu melihat peristiwa banjir besar Disember 2021 berulang,” ujarnya.-UTUSAN