SEBELUM dialog “pejamkan mata, bayangkan muka Walid” menjadi tular sehingga merentas perbatasan budaya, negara dan diguna pakai sebagai latar video pasukan bola sepak dunia, Faizal Hussein melekat dengan karakter ikoniknya sebagai Roy dalam filem Gila Gila Remaja yang terbit pada 1986. Ke mana-mana pergi, Faizal akan diingati dengan dialog “hati kau keras, Roy”.
Takjub memikirkan selepas 39 tahun, Faizal atau Mohd. Faizal Hussein, 57, berjaya menjenamakan dirinya sekali lagi. Cuma kali ini berkat jaringan internet, dia tampil lebih popular, lebih meledak dan lebih menyihir menerusi lakonannya sebagai ketua jemaah ajaran sesat dalam siri Bidaah.
Perhatian terhadap Faizal tidak aneh kerana tanpa watak Walid sekalipun, dirinya memancar aura yang tidak semua pelakon miliki. Ia dapat dirasakan sepanjang sesi temu bual dan fotografi kami.
Begitu juga dalam industri, terutamanya dalam kalangan pekerja filem, kehadirannya selalu mendatangkan getar dan kadangkala gerun. Faizal tidak pernah duduk berbual, bergurau senda di set penggambaran. Sama ada dia berlakon menyempurnakan adegan kemudian kembali ke kereta menekuni skrip diberikan.
“Saya perasan kalau keluar (dari kereta) ke set, mereka (kru filem) jadi tidak senang duduk, akan betulkan lampu dan lain-lain. Termasuk pengarah pun jadi tidak keruan,” katanya, mengimbas tabiatnya yang lebih suka bersendiri dalam kereta.
Sikap Faizal yang mengelakkan hubungan peribadi dengan rakan sekerja di set mungkin ditohmah sebagai sombong, tetapi itu yang membentuk auranya sebagai pelakon berdisiplin dan berkarisma.
“Siri Bidaah, semua babak saya sebagai Walid selesai dalam satu take. Sepanjang saya bergelar pelakon, saya tidak pernah lupa skrip. Jika harus buat lakonan sampai banyak take, itu bukan Faizal Hussein.
“Saya akan buat lebih daripada satu take hanya untuk safe take, atau jika jurukamera buat silap.
“Habis satu babak, saya terus masuk ke kereta, buka iPad dan hafal skrip. Saya tidak bergurau senda di set penggambaran,” jelasnya.
Watak Walid melonjakkan nama Faizal di Indonesia sehingga menjadi rebutan penerbit kandungan digital. Pelakon Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin (ASK) 2019 itu ditawarkan harga lumayan untuk hadir ke sesi temu ramah podcast atau melakukan kemunculan khas di program kandungan digital.
“Saya dapat lima lamaran buat program dan muncul dalam podcast. Memang harga yang ditawarkan begitu lumayan. Tapi saya tolak, kerana semua itu bukan bidang saya sebagai pelakon,” jelasnya tegas.
Jumlah pengikut di media sosial naik berkali ganda, Faizal mula menerima lambakan mesej setiap hari baik yang memuji atau yang nakal mahu menyerahkan diri sebagai isteri.
“Saya pun tidak pasti mengapa mereka mesej begitu. Sedangkan kalau lihat gambar profil nampak muda. Saya ini sudah sebaya atuk dan ayah mereka.
“Tapi saya fikir, jika saya tidak layan, tiada apa-apa yang akan terjadi,” katanya lagi.
Ditunggu 10 tahun produksi Singapura
Mungkin ramai tidak mengetahui, namun Faizal merupakan salah seorang pelakon dalam siri popular antarabangsa iaitu siri Strike Back. Pada musim keenam, Faizal membawakan watak Hassan Ahmed, pengganas Indonesia yang merancang mengebom sebuah pusat beli-belah. Pendek kata, dia telah pun menunjukkan kemampuan lakonannya di peringkat antarabangsa.
Sebenarnya, syarikat penyiar utama di Singapura, Mediacorp yang juga agensi media paling berpengaruh di Asia Tenggara sudah bertahun-tahun mahukan kemunculan Faizal Hussein di stesen itu sejak 10 tahun lalu.
“Saya lebih utamakan kerja-kerja di Malaysia. Tapi baru-baru ini mereka masih menghubungi saya untuk sebuah projek. Ia melibatkan latar perang zaman Jepun. Saya masih mempertimbangkan tawaran.
“Katanya segala penggambaran akan dijalankan di Malaysia. Mungkin kali ini saya akan bersetuju,” ceritanya.
Saya cuma sabar, mereka akan hilang sendiri
Bercerita jatuh bangun dalam industri hiburan, Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-25 itu juga pernah berhadapan dengan situasi ditipu oleh beberapa syarikat produksi. Namun sejak muda, arwah bapanya sudah berpesan untuk berhati-hati dalam segala tindakan. Dia tidak mengamuk, dia hanya mengingati wajah-wajah yang menipunya dan membiarkan takdir menghukum mereka dengan caranya.
“Kadangkala penerbit ini jumpa sahaja saya di majlis keramaian. Cuma dia mengelak. Sedangkan saya baik-baik sahaja. Saya tidak pernah bising-bising.
“Saya sudah lama dalam industri, orang yang bekerja tidak ikhlas dan jujur begini tidak bertahan lama. Berapa banyak orang yang saya sudah tidak lihat lagi batang hidung mereka dalam industri. Saya cuma sabar, tapi mereka akan hilang dengan sendiri,” katanya.
Lakonan adalah cinta awal dan akhir anak kepada pelakon Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarhamah Mahyon Ismail ini. Jika mahu difikir kembali, banyak juga peristiwa lucu yang dilalui Faizal Hussein terutama di era popularitinya sekitar hujung tahun 80-an dan awal 90-an.
“Benda paling gila saya kena adalah kena gomol dan cium dengan peminat perempuan ketika buat promosi jelajah filem terbaharu. Ketika itu saya masih 20-an, saya bernyanyi dan main gitar di atas pentas.
“Seingat saya kejadian itu di Sarawak. Saya fikir itulah yang paling buat terkejut. Tapi saya tidak layan,” katanya ketawa mengakhiri temu ramah.