KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN perlu memperkukuh kekuatan dalaman dan mengembalikan keyakinan terhadap ekonomi domestik bagi menghadapi tekanan dari luar seperti tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk itu semua negara di rantau ini perlu memastikan dan mengekalkan hubungan baik sesama jiran tetangga kerana ia adalah asas membentuk kekuatan bagi menghadapi apa juga ancaman dari luar.
Katanya, selain hubungan sesama jiran serantau keakraban itu juga perlu meliputi tetangga lain yang selama ini telah memainkan peranan penting kepada ASEAN seperti China, Jepun dan Korea Selatan.
“Sudah tentu kita perlu memastikan hubungan baik dengan semua jiran tetangga. Seperti yang saya tegaskan, China adalah pemain penting yang tidak boleh diabaikan.
“Beberapa negara mungkin mempunyai masalah (dengan China), tetapi kita akan terus mengemudi secara terbaik demi keamanan dan keselamatan.
“Kita akan memastikan kita mendapat manfaat maksimum dalam bentuk pelaburan ekonomi dan sektor berkaitan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada penutup Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam.
Anwar berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mengingatkan rakan seanggota supaya tidak berpegang kepada naratif pesimis dan berputus asa terhadap tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS.
Beliau berkata, walaupun keadaan masih terkawal, namun, pada masa sama terdapat pendirian tegas dan lantang dari pihak Cina yang mana ia turut menjadi cabaran buat ASEAN.
“Ia boleh menjejaskan ekonomi kita dan kedudukan ASEAN berada dalam dilema. Kita meneruskan hubungan dua hala dan hubungan dagangan serta pelaburan yang sangat baik dengan AS.
“Pada masa sama, ASEAN perlu memastikan hubungan dengan China, Jepun, Korea Selatan serta negara jiran lain kekal kukuh dan mantap,” katanya.
Dalam pada itu ketika menghadiri Majlis Aidilfitri Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di Putrajaya Anwar berkata, penangguhan selama 90 hari terhadap tarif timbal balik yang diberikan Amerika Syarikat sebagai satu kelegaan sementara bagi negara ini.
“Malaysia terlibat dalam penangguhan (tarif timbal balik oleh AS). Oleh itu ia melegakan buat seketika.
“Ini memberi ruang untuk berunding dalam tempoh tersebut,” katanya.
Malaysia antara 75 negara rakan dagang Amerika Syarikat yang diberikan penangguhan selama 90 hari terhadap tarif timbal balik yang dikenakan oleh negara tersebut.
Negara anggota wilayah Indo-China ASEAN paling teruk terjejas akibat daripada tarif tersebut, dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Sementara itu, Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia masing-masing pada 24 peratus, Filipina 17 peratus dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.
Bagaimanapun semalam, Presiden AS, Donald Trump mengumum menangguhkan pelaksanaan tarif iu kepada 75 negara termasuk Malaysia. – UTUSAN