JOHOR BAHRU: Penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Negeri Johor (J-ARDC) bakal menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh sektor pertanian serta keterjaminan makanan, seiring matlamat menjadikan Johor sebagai hab makanan atau ‘food bank’ negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata penubuhan J-ARDC lahir hasil pertemuan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup, pada 2 Februari lalu.
“J-ARDC adalah inisiatif strategik kerajaan negeri untuk menyelaras dan memperkukuh penyelidikan serta inovasi dalam bidang pertanian menggunakan pendekatan teknologi moden dan mampan.
“Matlamatnya adalah untuk meningkatkan sekuriti makanan dan memacu pertumbuhan ekonomi Johor secara inklusif,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penubuhan pusat itu, di sini. Turut hadir Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.
Tambahnya, Johor Biotech telah diberi mandat untuk menerajui pembangunan J-ARDC dengan kerjasama Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta pelbagai pihak berkepentingan.
Untuk fasa pertama, lima syarikat dipilih sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE) di bawah J-ARDC, iaitu YHL Aquatic Sdn. Bhd.; Archisen Pte. Ltd.; Bioalpha (Johor Herbal) Sdn. Bhd.; Ecofirst Opal Sdn. Bhd.; dan KOREF Desaru Leisure Farm Sdn. Bhd.
Kelima-lima CoE ini akan menjadi pusat rujukan utama bagi teknologi dan penyelidikan pertanian, menyediakan khidmat nasihat kepada pemain industri dan pelabur.
“Usaha ini dijangka memperkukuh kedudukan Johor dalam rantau makanan negara serta memberi impak besar terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN