PETALING JAYA: Datuk Afdlin Shauki Aksan menyifatkan kemenangannya sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, mengalahkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, sebagai di luar jangkaan.
Afdlin Shauki yang juga pengarah dan pelakon terkenal berkata, kemenangan itu dipercayai dipengaruhi ahli-ahli parti yang inginkan perubahan sama ada daripada segi dasar atau pendekatan layanan kawasan itu.
Katanya, perkara itu tidak dijangkakan sama sekali terutama selepas pernah dikalahkan dengan Naib Presiden parti itu, Nik Nazmi pada 2022 dengan perbezaan sebanyak kira-kira 100 undi.
“Kami rasa kami ada cukup orang cuma kami tidak tahulah sampai boleh boleh menang. Kami cuba sahaja.
“Jadi kalau jawapan dia dijangkakan atau tidak, saya rasa sentiasa di luar jangkaan. Maknanya tidak sangka benda ini boleh berlaku walaupun usaha kami menunjukkan yang kami ada peluang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan pemilihan Cabang PKR Setiawangsa menyaksikan Afdlin Shauki menewaskan Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.
Dalam keputusan diumumkan kelmarin, Afdlin Shauki memperoleh 631 undi manakala Nik Nazmi pula mendapat 573 undi.
Afdlin Shauki berkata, rancangan untuk bertanding bagi jawatan lebih tinggi masih belum difikirkan kerana meletakkan fokus untuk menjadi lebih aktif dalam membantu ahli parti di kawasan tersebut.
“Insya-Allah saya akan jadi lebih aktif membantu ahli-ahli parti di Setiawangsa. Fokus saya adalah untuk menjadi lebih efektif di kawasan itu.
“Untuk bersaing lebih, belum lagi. Pada ketika ini saya memikirkan cara memperbaiki servis (perkhidmatan) yang boleh diberikan kepada ahli. Tugas kami adalah membantu orang, jadi kami cuba buat benda itu dulu,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, pihaknya akan membiarkan proses rayuan berjalan mengiut peraturan dan ruang yang ditetapkan oleh parti.
Katanya, terdapat beberapa isu yang perlu dibangkitkan pada pemilihan kali ini dan saluran parti akan digunakan sewajarnya untuk menyuarakan perkara-perkara tersebut.










