Agong zahir penghargaan semua petugas

Agong zahir penghargaan semua petugas bantu mangsa Putra Heights

SULTAN Ibrahim berangkat ke lokasi tragedi paip gas Putra Heights.-FB SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas jabatan kerajaan dan agensi serta badan bukan kerajaan yang berganding bahu membantu mangsa tragedi paip gas Putra Heights.

Seri Paduka menzahirkan penghargaan itu dalam hantaran Facebook Sultan Ibrahim.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas jabatan kerajaan dan agensi serta badan bukan kerajaan yang berganding bahu membantu mangsa-mangsa,” kata hantaran tersebut

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada keluarga-keluarga yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran gas itu.

Seri Paduka berkenan mengurniakan sumbangan berkenaan kepada setiap ketua keluarga isi rumah menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Sultan Ibrahim tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada jam 8.45 pagi sebelum berangkat ke Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.

Keberangkatan tiba Seri Paduka di PKTK disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Seri Paduka kemudian dipersembahkan taklimat berkenaan insiden kebakaran paip gas selama hampir 30 minit oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan sebelum berangkat meninjau lokasi kejadian.

Sultan Ibrahim turut berkenan menyantuni serta melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa-mangsa kejadian di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN