Ahli parlimen diminta sertai APM bermula tahun depan

Ahli parlimen diminta sertai APM bermula tahun depan

Parlimen APM
TENGKU Permaisuri Norashikin diiringi Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Istiadat Pentauliahan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 dekat Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli-ahli parlimen perlu menyertai pasukan beruniform Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di kawasan masing-masing bermula tahun hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bermula tahun hadapan juga, kerajaan akan mengarahkan semua ahli parlimen menyediakan perbelanjaan pembelian uniform pasukan itu daripada peruntukan yang diberikan.

Menurutnya, APM merupakan antara barisan kedua pertahanan negara selepas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Untuk semua kementerian kita galakkan untuk menyertai (APM), ya. Begitu juga semua ahli parlimen, mulai tahun hadapan kita akan meminta mereka memperuntukkan sebahagian kecil daripada peruntukan diberikan.

“Ia digunakan untuk pembelian uniform untuk pasukan APM di kawasan parlimen masing-masing,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16, hari ini.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan hadir menyempurnakan istiadat tersebut yang memberikan tauliah sebagai Leftenan Muda kepada 918 pegawai kadet Kor Sispa dari universiti awam (UA), institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dan Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di seluruh negara.

Baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Pegawai Kadet Sispa Terbaik kepada 24 penerima setiap kontinjen yang mewakili institusi masing-masing serta anugerah khas Piala Ketua Pesuruhjaya Perdana.

Kata Ahmad Zahid, penyertaan mahasiswa dalam pasukan beruniform khususnya APM adalah suatu galakan daripada universiti untuk membentuk disiplin selain jati diri dalam kalangan mereka.

“Latihan yang diberikan untuk memperkuatkan jiwa, meletakkan disiplin sebagai perkara utama dan ketahanan diri. Pemberian elaun juga sedang diusahakan oleh JPM (Jabatan Perdana Menteri),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN