INDIANA: Lelaki didapati lebih berisiko berlaku curang berbanding wanita ketika melalui peristiwa hidup yang penuh tekanan seperti pekerjaan baharu, berpindah rumah atau memiliki anak, menurut satu kajian terbaharu.
Penyelidik dari Universiti Indiana Bloomington, Amerika Syarikat (AS) menemu bual lebih 1,000 individu dewasa yang berada dalam hubungan heteroseksual komited pada tahun pertama pandemik Covid-19.
Peserta ditanya sama ada mereka pernah melakukan perbuatan yang dianggap sebagai kecurangan oleh pasangan, sama ada secara bersemuka atau dalam talian.
Hasil kajian mendapati 19 peratus responden mengakui pernah berlaku curang dalam tempoh pandemik, dengan lelaki dilaporkan lebih cenderung berhasrat untuk tidak setia berbanding wanita, serta lebih ramai yang mengaku benar-benar melakukannya.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Plos One itu turut mendapati ibu bapa lebih berkemungkinan berlaku curang berbanding pasangan yang tidak mempunyai anak namun, dalam kategori ini, mereka menunjukkan kecenderungan sama rata untuk berlaku curang.
“Penyelidikan kami mendapati ibu bapa, berbanding yang tidak mempunyai anak, menunjukkan keinginan dan penglibatan yang lebih tinggi dalam kecurangan ketika berdepan tekanan luaran yang signifikan, seperti pandemik Covid-19,” kata penyelidik.
Tambah mereka lelaki khususnya mungkin lebih terdedah kepada risiko kecurangan semasa tekanan hidup yang besar dan berpotensi memerlukan sokongan khusus untuk mengukuhkan hubungan.
Analisis lanjut menunjukkan peserta yang lebih berusia melaporkan kecenderungan lebih tinggi untuk berlaku curang berbanding peserta muda.
Penyelidik berpendapat faktor seperti hubungan jangka panjang atau tekanan hidup yang terkumpul mungkin mempengaruhi kepuasan dalam hubungan.
Kajian terdahulu menunjukkan pandemik Covid-19 memberi tekanan besar terhadap hubungan romantik dan seksual pasangan di seluruh dunia.










