PETALING JAYA: Siasatan dalaman membabitkan tiga anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tular di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) kerana didakwa mengasari seorang peniaga belon pada 28 Mac lalu, kini berada di peringkat akhir.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, siasatan itu melibatkan tiga anggotanya yang telah direhatkan susulan kejadian membabitkan Muhammad Zaimuddin Azlan dikenali sebagai `Abang belon.’
Menurut DBKL, memandangkan isu berkenaan turut menjadi kes siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihaknya kini mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan sebarang ulasan lanjut buat masa ini.
“Langkah ini diambil bagi menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan memastikan ia berjalan dengan lancar, telus serta tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Tambah DBKL, pendekatan tersebut juga selaras dengan komitmen pihaknya untuk memastikan setiap siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, adil dan berlandaskan prinsip integriti.
“DBKL sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan ini,” jelasnya.
Sebelum ini, tular di media sosial, insiden membabitkan tiga anggota penguatkuasa dan seorang peniaga belon dalam kejadian di Jalan TAR.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Zaimuddin, Hasnah Mat Isa, 54, memaklumkan anaknya sudah pulang dan menetap bersamanya. – UTUSAN