84,025 gagal Matematik

84,025 gagal Matematik

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 84,025 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 gagal dalam subjek Matematik, iaitu antara tujuh mata pelajaran teras dalam peperiksaan itu.

Berdasarkan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 lalu, jumlah itu me­rangkumi 22.4 peratus daripada 375,115 calon menduduki mata pelajaran berkenaan, sekaligus mencatatkan keputusan gagal tertinggi dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil oleh calon-calon SPM.

Berbanding subjek teras lain seperti Sains, jumlah calon yang gagal hanya merekodkan seramai 24,314 calon atau 8.6 peratus daripada 282,724 yang menduduki subjek itu manakala bagi subjek Bahasa Inggeris pula, sejumlah 36,771 calon atau 9.8 peratus gagal dalam subjek itu daripada 375,218 calon mendudukinya.

Bagi subjek elektif pula, Matematik Tambahan merekodkan jumlah calon gagal tertinggi berbanding subjek elektif lain iaitu seramai 27,112 merangkumi 24.9 peratus daripada 108,885 calon yang menduduki.

Matematik Tambahan adalah antara empat subjek elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selain Sains Tulen iaitu Fizik, Biologi dan Kimia.

Jika mengambil kira kelayakan untuk menyambung ke pe-ringkat pengajian tinggi dalam jurusan-jurusan sains dan tek­nologi, mereka perlu memperoleh sekurang-kurangnya gred C.

Jumlah mereka yang hanya lulus bagi gred D dan E juga tinggi iaitu kira-kira 105,407 (28.1 peratus) calon bagi mata pelajaran Matematik manakala seramai 22,321 (20.1 peratus) calon bagi mata Pelajaran Matematik Tambahan.

Justeru, jumlah pelajar yang lulus gred D dan E serta yang gagal menjadi lebih besar iaitu 189,432 calon (Matematik) dan 49,433 calon (Matematik Tambahan).

Mengulas mengenai faktor kemerosotan pencapaian subjek Matematik itu, pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pe­nguasaan pelajar-pelajar dalam subjek ini adalah lemah sebelum mereka menduduki SPM.

Apatah lagi katanya, mereka gagal menguasai kemahiran asas sejak di sekolah rendah dan tidak diatasi lebih awal sehingga membawa ke peringkat sekolah menengah.

“Mungkin pada awalnya mereka ada yang keciciran dan tidak di atasi segera maka membawa ke sekolah mene­ngah, akhirnya sampai ke pe­ringkat SPM dalam keadaan penguasaan matematik lemah.

Sedangkan silibus di peringkat SPM itu jauh lebih sukar yang perlu mereka kuasai kemahiran asas terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Anuar berkata, kandungan atau silibus Matematik terlalu sukar dan padat turut menjadi faktor kegagalan murid yang telah pun diakui sendiri pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sehingga mereka melaksanakan intervensi kurikulum pada tahun lalu di pe­ringkat sekolah rendah untuk subjek Sains dan Matematik.

Katanya, intensif intervensi kurikulum ini baru bermula sedangkan pelajar-pelajar di pe­ringkat SPM 2024 sudah menghadapinya sekian lama dengan kurikulum dan silibus yang berat.

“Kita menyatakan kebimbangan tentang isu silibus ini dari awal lagi sejak tahun 2016 apabila kita nampak pelaksana­an Kurikulum Stan­dard Sekolah Menengah (KSSM) pada tahun 2012 ada kesan yang tidak begitu memuaskan kepada Matematik dan Sains.

“Pada 2019 ramai pihak menyuarakan pandangan ini termasuk guru dan kemudian kita dapat lihat semakan pada tahun 2017 juga tidak berjaya membawa kurikulum menjadi lebih baik.

“Kita mengharapkan dalam kurikulum baharu 2027, isu silibus ini dapat diselesaikan di mana tidak perlu terlalu padat, tidak terlalu banyak yang perlu diajarkan kepada para pelajar, cukup hanya kemahiran asas supaya mereka dapat menguasai dengan baik sekali gus dapat menjawab soalan itu jauh lebih baik,” katanya.

Kumpulan calon SPM 2024 adalah mereka terkesan ketika tempoh pandemik Covid-19 di mana mereka berada di Tingkatan 1 pada 2020 dan menghadapi sekolah tutup selama tiga tahun yang hanya dibuka sepenuhnya pada Mac 2023.

Mereka hanya belajar secara bersemuka ketika tingkatan 4 dan tingkatan 5, iaitu hampir 60 peratus daripada tempoh tingkatan 1 hingga tingkatan 5 mereka tidak berada di sekolah.

“Situasi ini mempengaruhi pencapaian memandangkan Matematik perlu melalui pe­ngajaran dan pembelajaran bersemuka dan guru perlu berada bersama murid, membimbing dan memberikan perhatian.

“Kalau silibus sekarang pada tingkatan 1, 2 dan 3 mereka tidak kuasai, bagaimana dapat jawab soalan di peringkat SPM dengan baik,” katanya.

Menangani kelemahan pen­capaian subjek itu, Anuar berkata, ia mesti diperkukuhkan di peringkat sekolah rendah lagi kerana kelemahan itu akan terbawa ke peringkat menengah termasuk subjek Sains dan Bahasa Inggeris apatah lagi silibus semakin sukar.

Pedagogi guru dan latihan kepada tenaga pengajar perlu berubah selain kemudahan pembelajaran dalam kelas juga kena berubah.

“Kelas perlu lebih kecil sebab guru boleh bimbing murid dengan lebih rapat, kalau kelas itu sampai 50 orang, guru tak mampu nak memastikan setiap murid dapat bimbingan yang baik.

“Negara maju memberi fokus kepada bilangan murid dalam kelas antara 20 hingga 25 sebab mereka tahu bila­ngan murid ramai tidak akan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya