NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mempunyai sebarang masalah untuk membenarkan pelajar sekolah terlibat dengan sesi ‘townhall’ bagi mendengar sendiri pandangan mereka berhubung penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dalam hal ini, pihaknya sedia bekerjasama dengan semua pihak yang berkenaan andai diperlukan.
“Kita tak ada masalah dengan pandangan dan cadangan itu. Saya ingat, ia proses yang biasa juga kita buat di peringkat KPM sendiri iaitu mendapatkan pandangan-pandangan daripada pelajar-pelajar kita.
“Jadi, dalam isu ini, saya ingat pemegang taruh utama juga adalah anak-anak dan para pelajar kita. Oleh itu, kita boleh bincanglah bersama bagaimana format (pelaksanaan sesi tersebut).
“Maka, natijah daripada ‘townhall’ itu nanti, dapatlah kita buat satu rangkuman bahawa anak-anak jugalah pemegang taruh utama dalam isu itu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Temu Rakyat Parlimen Nibong Tebal di Dewan Serbaguna Sungai Bakap di sini, hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mahu sesi ‘townhall’ berkaitan isu buli diperluas kepada kumpulan pelajar bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti.
Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berhasrat menjadikan Program Temu Rakyat Parlimen Nibong Tebal sebagai program bulanan dalam usaha merapatkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, melalui program seperti itu, rakyat berpeluang untuk mengutarakan pelbagai isu berbangkit seperti berkaitan perumahan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya kepada pemimpin mereka.
“Begitu juga dengan isu-isu lain seperti tanah dan masalah banjir yang pastinya juga menjadi sebahagian besar daripada isu yang dibangkitkan ketika ini.
“Jadi, ini (pertemuan dengan rakyat) penting dan salah satunya adalah untuk memastikan bahawa mereka boleh terus (mengadu sebarang masalah) kepada Ahli Parlimen walaupun selama ini (boleh berbuat demikian) melalui pusat khidmat,” katanya yang meluangkan masa hampir tiga jam untuk bertemu penduduk di situ dalam program tersebut.-UTUSAN










