65 Orang Asli berjaya ketepi perintah jualan aset

65 Orang Asli berjaya ketepi perintah jualan aset

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 65 Orang Asli suku Jakun berjaya mengetepikan perintah mahkamah yang membenarkan penjualan 57 unit kondominium di Lanai Gurney, Keramat yang merupakan aset Tabung Amanah mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Tenchiong memutuskan demikian selepas membenarkan saman pemula yang difailkan oleh kumpulan Orang Asli itu selaku pemohon pada prosiding yang dijalankan petang semalam.

Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

RHB Trustees Berhad yang merupakan pemegang amanah Linggiu Valley Orang Asli (Jakun) dinamakan sebagai responden dalam saman terbabit.

Selain membenarkan saman pemula, Mahkamah turut memerintahkan bahawa sebarang penjualan dan pindah milik semua 57 unit kondominium yang terletak di bawah hakmilik strata hendaklah dijual dengan harga nilai pasaran serta melalui tender terbuka atau lelongan awam.

Mahkamah juga memerintahkan penjualan dan pindah milik kesemua unit kondominium itu  hendaklah dikendalikan oleh perunding-perunding bebas termasuk peguam, penilai serta ejen harta pusaka.

Peguam, Rabia Abd. Halim dibantu peguam, Siti Zabedah Kasim yang mewakili kesemua pemohon mengesahkan keputusan tersebut ketika dihubungi media.

Kesemua pemohon memfailkan saman pemula itu pada 16 Julai 2024, dengan alasan bukan sahaja persetujuan tidak diperolehi daripada  semua benefisiari tabung amanah itu, responden juga telah enggan, cuai dan gagal untuk memaklumkan  mengenai tindakan  menjual 57 unit kondominium terbabit.

Selain itu, mereka menyatakan bahawa perintah jualan bertarikh 20 Jun 2023 untuk penjualan 57 unit kondominium tidak dibuat secara adil selain terdapat unsur ketidakadilan kepada pemohon.

Selain itu, menurut laporan penilaian hartanah tersebut harga pasaran agregat adalah RM17.1 juta, namun terdapat perjanjian antara pemegang amanah dan ejen hartanah bahawa harga penjualan dinaikkan kepada RM19 juta tetapi hanya RM12 juta diberikan kepada Tabung Amanah manakala RM7 juta akan digunakan sebagai kos pengubahsuaian.

Sebanyak RM7 juta di mana baki duit diberikan ejen hartanah kononnya untuk mengubahsuai hartanah itu, sebaliknya ia  percubaan untuk melucutkan hak Orang Asli.

Menurut pemohon, penjualan 57 unit kondominium itu seharusnya dijalankan secara jualan lelongan awam atau tender terbuka dan dikawal selia oleh mahkamah, bukannya ejen hartanah persendirian kerana ia kepunyaan Tabung Amanah untuk manfaat kepada Orang Asli.

Orang Asli terbabit adalah penerima sah bagi pampasan yang dibayar oleh Kerajaan Negeri Johor menurut perintah dan Surat Ikatan Amanah bertarikh 5 Jun 2000 melalui saman pemula yang diputuskan  Mahkamah Tinggi Johor Bahru, dan susulan itu tertubuhnya Linggiu Valley Orang Asli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya