PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan terhadap 22 perusahaan kerana terlibat dengan perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan pusat penjagaan kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor.
Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun berkata, perusahaan-perusahaan tersebut didakwa melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712), pada peringkat keputusan cadangan ini.
Melalui penyiasatan MyCC, beliau berkata, bukan sahaja terdapat cadangan untuk menaikkan yuran perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dibincangkan, malah cadangan itu dipersetujui oleh kesemua perusahaan itu dalam mesyuarat persatuan.
“Keputusan tersebut kemudiannya dimaklumkan kepada semua ahli persatuan dan pemilik pusat penjagaan kanak-kanak yang lain melalui pengedaran satu pekeliling.
“MyCC mendapati tindakan ini bertujuan untuk menghalang dan menyekat persaingan dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Idrus menekankan keputusan cadangan yang dikeluarkan oleh MyCC adalah masih di peringkat dapatan awal.
Oleh itu, katanya, tidak boleh diandaikan mana-mana perusahaan yang dinyatakan dalam keputusan cadangan ini secara konklusifnya melanggar Akta 712 pada peringkat ini.
“Seperti yang diperuntukkan dalam Akta 712, kesemua perusahaan yang dinamakan dalam keputusan cadangan ini telah dimaklumkan semalam mengenai penalti dan arahan yang dicadangkan oleh MyCC.
“Perusahaan-perusahaan ini diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan,” katanya.
Selepas itu, katanya, perusahaan-perusahaan yang sama juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada MyCC pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.
“MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan ini bersama bukti yang diperolehi semasa proses penyiasatan,” katanya. – UTUSAN