IPOH: Kira-kira 12,000 tandas sekolah telah dibaiki bagi memberi keselesaan kepada murid dan pelajar selain mendidik mereka tentang kebersihan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan asas di sekolah merupakan keutamaan beliau sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri dengan RM1 bilion dibelanjakan untuk membaiki tandas.
“Untuk pendidikan apa yang pertama saya lakukan, kemudahan asas. Anak-anak tahu mengapa saya tekankan hal ini? kerana kita latih anak-anak disiplin dan latih kebersihan.
“Kalau tandas sekolah rosak, atau kotor. Pendidikan apa?” katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan sumbangan kepada pelajar sekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Poi Lam di sini hari ini.
Anwar berkata, setiap kali berkesempatan bertemu dengan murid beliau akan bertanyakan tentang hal sekolah mereka termasuk mendengar luahan kerosakan tandas sekolah.
“Tadi saya tanya seorang, dia kata satu tandas rosak. Hari Isnin ini saya pastikan ada pegawai pergi ke sekolah itu dan cuba selesaikan masalah tandas di sekolah tersebut.
“Ini makluman yang baik. Orang tanya mana Perdana Menteri dapat maklumat ini. Setiap Jumaat saya pergi masjid, banyak anak-anak sekolah.
“Saya tanya sekolah mana, darjah berapa, tandas sekolah bagaimana. Itulah feedback saya dan terus saya telefon Menteri Pendidikan untuk selesaikan masalah yang saya dengar langsung daripada anak-anak,” katanya.
Dalam ucapan yang sama, Anwar mengingatkan murid-murid agak menolak budaya buli dan menghina orang lain.
“Masih ada laporan-laporan amalan buruk dalam kalangan anak-anak. Buli, menghina orang, mencaci satu sama lain. Menghina warna kulit atau kaum. Ini bukan caranya.
“Jaga disiplin. Jangan belajar jadi sombong dan angkuh, hina orang, buli orang. Saya tidak fikir sistem negara kita, sekolah kita harus izinkan sikap sikap buruk ini berterusan,” katanya. – UTUSAN