SEAKAN-akan meniti di satu garis halus, ada jurang yang begitu kecil untuk sebuah naskhah slice of life (yang mencerap potongan sebenar kehidupan manusia) boleh dianggap cerita yang bagus. Ini kerana, jika ramuannya begitu berlebihan, yang menerima hidangan seperti disumbat-sumbat dipaksa menelan.
Jika pembikinnya sekadar mahu romanticize poverty, sadness iaitu sebuah terma yang diwujudkan pengkritik dan ahli akademik terhadap pandangan menunjukkan kesusahan sebagai indah, perlu dipuja, eksotik (dalam fikiran saya semasa menulis ini, ada beberapa filem yang seperti itu tapi tidak perlulah saya tuliskan), percayalah, naskhah itu akan menjadi sangat memualkan.
Ada banyak penonton yang sudah tajam menghidu hipokrasi dalam cerita. Oleh itu, saya berpandangan, filem dengan genre ini perlu sangat kritis membawa wacana supaya ia kukuh, tidak berhenti sekadar ‘alahai kasihan’.
Saya menerima filem ini sebagai filem, cuba meletakkan ke tepi kekaguman saya terhadap Yandy Laurens yang sebelum ini menghasilkan salah satu filem kesukaan saya, Jatuh Cinta Seperti di Film-Film. Kerana saya percaya, 1 Kakak 7 Ponakan (1K7P) harus berdiri dengan ceritanya, bukan kerana pembuatnya.
Filem ini dibuka dengan Moko dan anak saudaranya yang saling bertelagah berebut bilik mandi. Sebenarnya, lima minit awal cerita ini tidak begitu meyakinkan saya. Saya cepat curiga (maaf ya) jika IK7P akan jatuh ke dalam mana-mana ciri filem hipokrasi yang saya sebutkan tadi.
Namun, ketika akhirnya saya mula berempati dengan karakter Moko (Chicco Kurniawan), segala tanggapan saya tentang cerita ini berubah. Mengisahkan seorang pemuda yang terpaksa mengambil alih jawatan sebagai bapa menjaga anak saudaranya seramai empat orang.
Filem ini menceritakan tentang generasi sandwich iaitu sebuah fenomena menceritakan bagaimana seseorang itu menanggung beban yang tak sepadan dengan usianya.
Jika merujuk kepada definisi dalam artikel ‘Sandwich’ Generation: Adult Children of the Aging. Ia memberi gambaran sebuah generasi yang perlu menjaga orang tua dan anak-anak seperti Moko.
Walaupun ilham cerita ini diambil daripada sinetron tahun 90-an, saya melihat Yandy cuba menguji keadaan ini pada tahun 2025.
Ternyata ia masih berlanjutan bahkan di Malaysia melihat statistik 2023, ada 55 peratus warga emas masih bergantung kepada kewangan anak-anak apabila 13.735 juta individu tidak dilindungi skim pencen.
BIJAK DAN MENYENTUH
1 Kakak 7 Ponakan membincangkan wacana ini sangat halus, lembut dan tajam pada masa sama. Ia memberikan pandangan yang mungkin lama, tapi baru dapat dilihat terhadap apa yang perlu dilakukan agar situasi ini tidak hanya menghimpit satu individu sahaja di dalam keluarga.
Saya harus memuji Yandy bagaimana kebijaksanaan dan ketelitiannya merangka adegan khusus dan mise en scene yang menyentuh nubari. Ketika Moko memujuk anak buahnya satu persatu, masing-masing saling membina tembok sampailah salah satu keluar daripada tembok itu.
Malangnya, saya tidak mempunyai ruang yang panjang membahaskan keindahan filem ini lebih banyak. Namun ia hangat, seperti ada menepuk lembut bahu kita dari belakang. Saya menutup ulasan kali ini dengan dialog filem ini yang berbunyi (lebih kurang) kita akan selalu melakukan sesuatu, hanya untuk merasakan seseorang yang kita cinta selalu ada di sebelah kita.
Kerana itulah, saya menulis ini. Agar cinta saya terhadap pembikin seperti Yandy dan ceritanya akan selalu lama berusia.