Royal Lexis bakal dilancar bulan depan, GDV RM950 juta - Utusan Malaysia

Royal Lexis bakal dilancar bulan depan, GDV RM950 juta

DATUK LOW TAK FATT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, KL Metro Group bakal melancarkan Royal Lexis bulan depan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM950 juta.

Pengarah Urusan KL Metro Group, Datuk Low Tak Fatt berkata, Royal Lexis merupakan projek mewah yang dikendalikan oleh Lexis Hotel Group dengan konsep suite dan vila eksklusif yang dilengkapi dengan kolam peribadi.

“Sasaran utama pembeli adalah dari pasaran Asia-Pasifik dan Timur Tengah, termasuk negara seperti Taiwan, China, Hong Kong, Jepun, Korea serta Pakistan, Bangladesh, India, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Qatar.

“Walaupun tumpuan diberikan kepada pembeli luar negara, kami turut menjangkakan minat daripada pembeli tempatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dengan keluasan tanah kira-kira satu ekar, Royal Lexis menawarkan sebanyak 371 unit apartmen servis mewah untuk dijual, dengan harga bermula dari RM1.7 juta hingga RM2.5 juta.

Dua unit pameran telah siap dibina di pejabat jualan sebagai sebahagian daripada persediaan pelancaran.

Tak Fatt berkata, Royal Lexis dijangka menetapkan penanda aras baharu dalam pasaran hartanah mewah dengan reka bentuk dalaman moden kontemporari, bahan binaan berkualiti tinggi dan konsep dwi-kunci yang menawarkan fleksibiliti kepada pemilik.

“Projek ini juga menampilkan kolam renang peribadi, saiz bilik lebih luas (antara 800 hingga 1,000 kaki persegi), serta pemandangan eksklusif menghadap Menara Kuala Lumpur, Merdeka 118 dan Menara Berkembar Petronas KLCC.

“Terletak strategik di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur, di Jalan Sultan Ismail, projek kediaman servis mewah oleh Lexis Group ini menandakan era baharu dalam gaya hidup bandar bertaraf tinggi,” katanya.

Pembangunan bercita-cita tinggi ini dilancarkan pada waktu sektor hartanah Malaysia menunjukkan momentum baharu, disokong oleh minat asing yang meningkat, pertumbuhan pelancongan serantau, serta peristiwa besar akan datang seperti Tahun Melawat Malaysia 2026 dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

KL Metro Group ialah pemaju hartanah terkenal yang fokus kepada projek mewah dan hotel bertaraf lima bintang selain projek komersial dan perumahan.

Antara projek ikoniknya termasuk Lexis Port Dickson, Grand Lexis Port Dickson, Lexis Suites Penang, Lexis Hibiscus Port Dickson dan Imperial Lexis Kuala Lumpur (diurus oleh Lexis Hotel Group). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN