TAPAH: Sehari selepas diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir tidak menunggu lama untuk turun padang menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.
Semalam, beliau meninjau projek baik pulih rumah seorang warga emas berusia 87 tahun di Kampung Jawa Batu Masjid, yang dilaksanakan menerusi inisiatif bekas wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Projek ini adalah antara usaha Allahyarham Ishsam. Alhamdulillah, permohonannya telah diluluskan tiga minggu lalu. Kehadiran saya hari ini adalah untuk memastikan projek ini berjalan lancar.
Kerja-kerja baik pulih akan bermula minggu depan,” katanya kepada pemberita di kediaman Mohd. Mansor Selamat.
Mohamad Yusri, 54 berkata, projek baik pulih rumah didiami warga emas berusia 87 tahun itu membabitkan kerja-kerja penggantian atap dan tingkap selain membaiki beberapa kerosakan lain.
Menurut beliau, inisiatif itu merupakan antara tiga tekad dan tujuh tawaran yang terkandung dalam manifesto pilihan rayanya dalam usaha memastikan kebajikan dan keselesaan rakyat menjadi keutamaan.
“Bantuan baik pulih rumah ini merupakan satu daripada aspirasi kita untuk penduduk di Ayer Kuning dan ia juga telah dilaksanakan dalam tempoh Allahyarham menjadi wakil rakyat.
“Saya akan meneruskan apa yang dirancang bagi memastikan bantuan dan keselesaan penduduk dapat diikhtiarkan,” katanya.
Sementara itu Mohd. Mansor berkata, rumah itu dibina sendiri sekitar tahun 60-an dan terdapat banyak kerosakan berikutan keadaan kediaman yang telah reput.
“Sebelum ini bila ada kerosakan, kerajaan juga yang bantu. Malah, allahyarham ada dua kali datang ke rumah untuk tengok. Saya gembira apabila ada wakil rakyat yang prihatin,” katanya.
Terdahulu, Mohamad Yusri bertemu masyarakat sekitar kawasan DUN Ayer Kuning antaranya Batu 3, Kampung Batu Masjid, Pekan Air Kuning dan Tapah Road.
Kehadiran bekas guru berusia 54 tahun itu bagi menyatakan penghargaan atas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning kelmarin.
Keputusan PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan Mohamad Yusri menang dengan majoriti 5,006 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). – UTUSAN











