KUALA LUMPUR: Sikap rajin yang dipupuk sejak kanak-kanak membuatkan pelakon, Mimi Lana tidak mengenal erti penat dan sentiasa bekerja untuk mencari rezeki.
Malah, kata Mimi, dia mencontohi kerajinan ibu bapanya dan melihat sendiri bagaimana mereka bekerja keras mencari nafkah.
“Saya menjadi seorang yang kuat bekerja kerana sejak kecil dididik untuk tidak bersenang lenang.
“Saya membesar dengan melihat ibu bapa saya membanting tulang dan saya juga sejak kecil membantu mereka menjual nasi lemak di sekolah selain menolong ayah menjual Bunga Orkid pada hujung minggu.
“Sebagai satu-satunya anak perempuan, saya juga selalu masak, kemas dan jaga rumah apabila ibu bapa saya bekerja,” katanya.
Mimi juga terinspirasi dengan kerajinan nenek dan ibu saudaranya yang keluar bekerja membantu suami mencari pendapatan.
“Nenek saya, dalam dia sibuk bekerja, dia juga seorang ibu tunggal yang membesarkan 11 orang anak.
“Dan hampir kesemua ibu saudara saya juga merupakan wanita yang bekerjaya.
Saya terinspirasi dengan kerajinan mereka,” ujarnya.
“Bagaimanapun, suami saya (Syafiq Kyle) secara perlahan-lahan menarik saya menjadi wanita dengan memanjakan saya sejak kami berkahwin.
“Tahun ni boleh bilang dengan jari berapa kali saya memandu kerana dia selalu ada untuk mengingatkan saya untuk hidup santai tanpa terkejar-kejar dalam kehidupan,” kongsinya.











