Zarul Solo samun kedai emas diberkas

Zarul Solo samun kedai emas diberkas

CHRISTOPHER menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki dikenali sebagai Zarul Solo diberkas kelmarin selepas dipercayai melakukan samun di kedai emas di Taman Paya Rumput Utama, Cheng, 9 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek dikesan selepas polis menerima laporan mengenai kejadian samun di kedai emas yang dilakukan kira-kira pukul 3.45 petang apabila lelaki itu berpura-pura menjadi pelanggan.

Katanya, lelaki berusia 46 tahun berjaya ditahan polis dalam satu serbuan di Rumah Pangsa Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya di sini. 

“Semasa pekerja menunjukkan tiga utas rantai emas, suspek bertindak pantas merampas barang kemas itu sebelum melarikan diri. Laporan polis telah dibuat oleh mangsa dan siasatan dijalankan.

“Hasil siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada penahanan dua individu lain iaitu seorang wanita berusia 54 tahun yang bekerja di sebuah kedai pajak gadai serta seorang lelaki berusia 56 tahun pemilik kedai membeli barangan emas,” katanya dalam sidang akhbar di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek  ditahan kerana dipercayai telah membeli barang kemas hasil samun, selain beberapa resit transaksi turut dirampas sebagai bahan bukti.

Christopher berkata, modus operandi suspek adalah dengan menyasarkan kedai emas yang tidak mempunyai pengawal keselamatan serta terletak berdekatan jalan utama bagi memudahkannya melarikan diri sekiranya dikejar.

“Wang hasil jenayah itu digunakan untuk perbelanjaan harian serta aktiviti perjudian.

“Hasil risikan mendapati suspek mula aktif dalam kegiatan jenayah itu sejak awal Mac dan mengaku terlibat dalam satu kes samun di daerah Melaka Tengah,” ujarnya. 

Mengulas lanjut Christopher berkata, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan kini direman selama enam hari bermula 13 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan

Katanya, pihak polis menganggarkan jumlah kerugian dalam kes itu melebihi RM12,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN