Wang tidak dituntut cecah RM12.7 bilion

Wang tidak dituntut cecah RM12.7 bilion

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk memaklumkan tentang Wang Tak Dituntut (WTD) sebanyak RM12.7 bilion sehingga 31 Januari lalu kepada pihak  yang berkenaan termasuk waris mereka.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antaranya termasuk kempen kesedaran yang dilaksanakan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) menerusi taklimat dan reruai di program-program kerajaan dan swasta.

“Sehingga tahun lalu, sebanyak 158 reruai dan program kesedaran diadakan di seluruh negara untuk memaklumkan orang ramai tentang wang berkenaan dan kaedah me­nuntutnya,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai jumlah terkini WTD serta langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memaklumkan wang tersebut kepada pemilik atau waris mereka.

Selain itu, Amir Hamzah berkata, JANM melaksanakan taklimat secara alam talian, per­luasan perkhidmatan kaunter semakan dan bayaran balik WTD.

“Hebahan berkala melalui saluran televisyen juga antara usaha untuk menyebarluaskan maklumat kepada rakyat,” katanya.

Untuk rekod, sehingga Oktober tahun lalu, jumlah WTD sebanyak RM12.8 bilion me­rangkumi akaun simpanan, insurans, deposit dan lain-lain.

Bagi menuntut WTD, individu atau waris yang berhak boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian di https://egumis.anm.gov.my/ atau hadir ke kaunter JANM di setiap negeri.
Kaedah semakan dan tuntutan boleh dirujuk di portal eGUMIS JANM atau kaunter JANM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×