PETALING JAYA: Tanggungjawab Universiti Awam (UA) bukan sahaja melakukan penyelidikan tetapi berusaha mencari cara untuk menjana keuntungan daripada hasil penyelidikan tersebut, terutamanya apabila ia melibatkan pelaburan yang besar.
Bekas Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda berkata, penyelidikan yang dilakukan di UA sering kali memerlukan pelaburan yang besar dengan banyak dana dibelanjakan untuk menjalankan kajian dan penyelidikan.
Namun, katanya, jika hasil daripada penyelidikan itu sekadar diterbitkan tanpa ada langkah-langkah untuk menjanakan pulangan, ia akan menjadi suatu pembaziran pelaburan.
“Oleh itu, penting bagi universiti untuk memiliki kepakaran dalam mengkomersialkan hasil penyelidikan yang dilakukan. Dengan kepakaran ini, hasil kajian yang telah dilaburkan berjuta ringgit boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan.
“Contohnya melalui penjualan hak paten, kolaborasi dengan industri atau penubuhan syarikat berasaskan teknologi. Ini bukan sahaja memberi pulangan kepada universiti dan negara tetapi juga menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan serta inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023, baru-baru ini mendedahkan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan USIM dilapor mengalami kerugian sepanjang tiga tahun berturut-turut iaitu antara 2021 hingga 2023.
Laporan sama turut mendedahkan sejumlah 1,119 projek bernilai RM148.04 juta dilaksanakan lima universiti penyelidikan melalui Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) didapati berada pada tahap kurang memuaskan, manakala 151 projek bernilai RM23.69 juta lagi pada tahap bermasalah.
Muhamad berkata, pengurusan kewangan yang baik di universiti amat penting untuk memastikan kelangsungan dan pembangunan institusi tersebut.
Jelasnya, naib canselor perlu mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai pengurusan kewangan universiti.-










