JOHOR BAHRU: Tiga premis perniagaan dan empat kenderaan musnah dalam kebakaran yang berlaku di Taman Tampoi Utama, petang semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Indra Sahreil A. Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.03 petang sebelum mengerahkan 19 anggota bersama lima jentera ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati tiga kedai terbakar dengan salah satunya merupakan kedai menjual perkakas pembesar suara. Selain itu, sebuah kereta Perodua Viva dan tiga motosikal turut musnah dalam kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Beliau turut menasihati orang ramai agar memastikan premis mereka dilengkapi alat pemadam api serta memahami langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 3.18 petang. – UTUSAN