Pemangkin TVET pengangkutan

ASTI pemangkin TVET pengangkutan

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mendengar penerangan pada Majlis Pecah Tanah Projek Penubuhan UniKL-ASTI Lembah Chuping, Padang Besar di Dewan Warisan, Kangar, Perlis, semalam. Turut hadir, Ahmad Zahid Hamidi.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penubuhan Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI) yang dibangunkan di Lembah Chuping, Padang Besar, Perlis bakal memberi impak besar ke arah pemangkin utama dalam memperkasa pendidikan tinggi teknikal berasaskan pengangkutan dan logistik mampan.

Pada masa ini, pembinaan institusi pengajian tersebut berada pada fasa akhir peringkat reka bentuk dan dijadual siap sepenuhnya menjelang 25 Jun 2028.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan UniKL-ASTI itu merupakan satu langkah strategik yang sangat bermakna bukan sahaja untuk negeri ini malah buat landskap pendidikan dan logistik negara secara keseluruhan.

Katanya, projek tersebut akan dilaksanakan secara reka dan bina dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak sebagai agensi pelaksana manakala Majlis Amanah Rakyat (Mara) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pula sebagai agensi pelanggan.

“Pembangunan institusi pengajian itu juga akan dilaksanakan di atas tanah seluas 60 ekar bersebelahan dengan kawasan Perlis Inland Port (PIP).

“UniKL-ASTI akan menjadi komponen penting dalam ekosistem pembangunan logistik serantau di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dalam menjadikan Perlis sebagai hab logistik strategik baharu di utara tanah air,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Penubuhan UniKL-ASTI Lembah Chuping, Padang Besar di Dewan Warisan, di sini semalam.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Ahmad Zahid berkata, UniKL-ASTI akan menawarkan pelbagai program diploma dan ijazah bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi seperti heavy vehicle maintenance technology (Teknologi Penyelenggaraan Kenderaan Berat), lifting equipment management (Pengurusan Peralatan Mengangkat) dan MRO Technolgy (Teknologi Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih).

Katanya, infrastruktur baharu itu akan memangkin pelaksanaan projek mega PIP yang dijangka menjadi pemacu utama pergerakan kargo rentas sempadan antara Malaysia-Thailand dengan nilai dagangan dianggarkan mencecah RM132 bilion menjelang tahun 2027.

“Saya percaya penubuhan UniKL ASTI ini nanti akan menterjemahkan komitmen utuh kerajaan Madani melalui Mara dalam memperkukuh Agenda TVET Nasional, memperluas akses pendidikan berimpak tinggi kepada masyarakat luar bandar serta meletakkan Perlis sebagai sebuah negeri maju dan berdaya saing dalam sektor pengangkutan serta logistik serantau,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN