KUALA LUMPUR: ASEAN perlu terus memelihara komitmennya terhadap hak asasi manusia supaya selari dengan Visi ASEAN 2045 yang mengiktiraf usaha pembinaan komuniti ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, aspirasi ASEAN yang berdaya tahan, dinamik dan berorientasikan rakyat hanya bermakna sekiranya negara anggota memastikan hak dan maruah rakyat terpelihara.
“Integrasi serantau sebenar hanya dapat dicapai sekiranya ASEAN memperkasa rakyatnya supaya mereka dapat bersama menikmati hasil kemakmuran bersama, pertumbuhan saksama dan keadilan sosial,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Khas bersama Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Mohamad berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menyokong usaha AICHR dalam merangka dua deklarasi penting yang memberi fokus kepada hak alam sekitar dan pembangunan inklusif.
Katanya, deklarasi tersebut merupakan komitmen ASEAN untuk menangani isu mendesak dihadapi rakyat serantau ketika ini, termasuk pencemaran alam, ketidakstabilan ekonomi dan sosial.
“Malaysia menyambut baik usaha AICHR dalam menyusun dua deklarasi penting. Pertama, tentang hak atas lingkungan aman, bersih dan sihat serta deklarasi mempromosikan hak pembangunan dan perdamaian sebagai usaha pembangunan inklusif dan mampan.
“Deklarasi ini mencerminkan suara rakyat semakin mendesak perlindungan alam sekitar, serta keperluan untuk memastikan pembangunan yang menyeluruh dan saksama,” katanya.
Katanya, usaha itu bukan sahaja mengukuhkan peranan AICHR dalam memajukan hak asasi manusia, tetapi juga memastikan ASEAN kekal relevan terhadap cabaran semasa dan masa hadapan.
“Kita tidak boleh bercakap tentang integrasi serantau tanpa menjamin hak dan maruah rakyat kita. ASEAN perlu berani memperkasa rakyat agar dapat menikmati kemakmuran bersama secara adil dan saksama,” katanya.
Kata Mohamad, Malaysia berharap AICHR terus diperkasa dengan menekankan pendekatan serantau terhadap hak asasi harus kekal dipimpin oleh ASEAN dan mencerminkan nilai negara anggotanya.
Sidang khas itu adalah pembuka tirai Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-58 (AMM ke-58) sehingga 11 Julai.-UTUSAN










