KUALA LUMPUR: Dua deklarasi penting berkaitan hak asasi manusia dijangka dimuktamadkan ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini bakal mencatat sejarah baharu bagi rantau Asia Tenggara di bawah pimpinan Malaysia.
Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Edmund Bon Tai Soon berkata, deklarasi tersebut melibatkan hak kepada alam sekitar selamat, bersih, sihat dan mampan serta mengenai pembangunan dan keamanan ke arah merealisasikan pembangunan inklusif dan mampan.
“Jika berjaya dimuktamadkan dalam sidang kemuncak nanti, ini akan menjadi kali pertama dalam tempoh 13 tahun ASEAN menerima pakai dua deklarasi hak asasi dalam satu tahun.
“Ini sangat penting untuk rakyat ASEAN kerana sekiranya deklarasi ini diterima, semua orang boleh menggunakannya sebagai asas kepada hak asasi mereka.
“Itulah matlamat utama suruhanjaya mendekatkan hak asasi manusia kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) semalam.
Edmund yang juga Wakil Malaysia ke AICHR berkata, deklarasi mengenai alam sekitar tersebut merupakan hasil rundingan selama dua tahun dan dijangka menjadi satu pencapaian besar dalam usaha melindungi hak rakyat terhadap alam sekitar yang sihat.
“Deklarasi itu antara lain menegaskan hak kepada penyertaan awam, hak membuat keputusan dalam isu alam sekitar, hak kepada maklumat dan akses kepada keadilan dalam kes pencemaran atau bencana berkaitan alam sekitar,” katanya.-UTUSAN











