Terkilan tiada permohonan maaf daripada keluarga pelaku nahas

Terkilan tiada permohonan maaf daripada keluarga pelaku nahas

HASLINDA Jupri menunjukkan gambar dua anaknya yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Persiaran Senawang 1, Senawang, Seremban Khamis lalu.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ibu kepada dua beradik yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini, Khamis lalu terkilan apabila keluarga pelaku langsung tidak meminta maaf berhubung kejadian itu.

Haslinda Jupri, 44, berkata, keluarga pemandu kereta Honda Jazz terbabit ada berjumpa dengannya di hospital dua hari lalu dan memberitahu anaknya telah melanggar anak sulungnya, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan Muhammad Asraf Adha Abdullah, 14.

Muhammad Aidil Ramdan meninggal dunia dalam kejadian itu manakala Muhammad Asraf Adha pula cedera parah.

“Bapa dia (pemandu Honda Jazz) datang dua hari lepas, cuma beritahu anaknya yang langgar anak saya, macam itu sahaja, minta maaf langsung tiada.

“Seorang pun tidak datang minta maaf, kalau dia nak datang minta maaf, saya tidak akan maafkan sebab anak saya sudah tiada. Kalau anak saya hidup kembali baru boleh saya maafkan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bridged Negaraku melawat Muhammad Asraf Adha di wad dan mengalami patah kaki.

Tambah Haslinda, dia hanya mahukan keadilan untuk anaknya dan masih belum membuat keputusan untuk tindakan lanjut, walaupun pelbagai pihak tampil menawarkan khidmat bantuan guaman.

“Saya memang mahukan keadilan untuk anak saya, seorang sudah tiada (meninggal), saya tidak akan diam orang sudah buat macam itu. Saya mahu orang yang buat anak saya rasakan bagaimana saya rasa sekarang,” katanya.

Haslinda berkata, Muhammad Asraf Adha berulang kali menonton klip video kemalangan dan reda selepas mengetahui abangnya sudah meninggal dunia.

Sebelum ini, dilaporkan Muhammad Aidil Ramdan yang menunggang motosikal Modenas Kriss meninggal dunia apabila dirempuh sebuah kereta Honda Jazz pada pukul 8.30 malam, 6 Mac lalu di Jalan Persiaran Senawang 1 dekat persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Height.

Turut terkorban Muhammad Aswari Lotpi, 16, yang membonceng motosikal Modenas Kriss. Semalam seorang lagi mangsa iaitu penunggang motosikal Honda Vario, Aisar Azim Abdullah, 17, juga meninggal dunia selepas dirawat di HTJS.

Sementara itu, Presiden Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd. Sopery berkata, pihaknya akan membantu Haslinda untuk urusan rawatan dan tindakan undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN