KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya memberi bayangan bersedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Keramat yang dimenangi atas tiket UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.
Namun, beliau enggan mengulas akan bertanding atas tiket apa memandangkan beliau berhadapan tindakan penggantungan keahlian selama enam tahun di dalam UMNO.
Sama ada beliau akan bertanding semula di bawah payung UMNO atau tidak, perkara itu akan diumumkan kemudian.
“Itu nanti kita tetapkan..nantilah. Sekarang ini kita kerja, persiapkan jentera dan apabila sampai masa kelak baru saya buat pengumuman,” katanya semasa Majlis Iftar Ramadan, di sini semalam.
Menurut Shahelmy, ada andaian tertentu yang dibuat mengenai statusnya di dalam UMNO. Namun, pada waktu ini, beliau adalah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tanjung Keramat dan Ahli Parlimen Putatan.
Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar telah mengumumkan Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed akan bertanding di kerusi DUN Keramat pada PRN Sabah akan datang.
“Tetapi itu sekadar pengumuman, akhirnya nanti adalah watikah yang akan dikeluarkan oleh Pengerusi Barisan Nasional pusat.
“Jadi apa-apa pun politik adalah dinamik, apa yang penting buat masa sekarang kami menumpukan kepada memberi perkhidmatan selagi penggal belum berakhir,” katanya.
Kata beliau, jentera parti telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran DUN Sabah memandangkan tahun ini genap lima tahun pemerintahan kerajaan sedia ada.
Beliau memberi peringatan kepada jentera parti agar sentiasa memperbaiki persediaan dari masa ke semasa agar apabila DUN dibubarkan, mereka cukup bersedia.
Shahelmey berhadapan penggantungan keahlian selepas bertindak membelakangkan keputusan parti ketika berlaku kemelut politik Langkah Kinabalu pada Januari 2023.
Beliau antara empat ADUN UMNO terawal memberi sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor biarpun UMNO telah bertindak menarik sokongan daripada Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah. – UTUSAN