Terima Pejuang, Wawasan bukti Pas jayakan penyatuan ummah

Terima Pejuang, Wawasan bukti Pas jayakan penyatuan ummah

AHMAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas akan terus menjayakan agenda penyatuan ummah dengan menjadikan Perikatan Nasional (PN) sebagai platform utama untuk tujuan itu.

Menerusinya, pelbagai parti politik dihimpunkan dengan perkongsian matlamat politik sama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, perjuangan yang dibawa Pas konsisten meskipun parti itu berdepan pelbagai kritikan.

Ia susulan keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

Menurut beliau, Pas mempunyai prinsip tersendiri yang perlu dihormati dalam menentukan hala tuju dan bentuk kerjasama politik yang dijalin.

“Pas komited dengan agenda penyatuan ummah. Kita mahu menjadikan PN sebagai tapak penyatuan yang kukuh bagi menghadapi PRU16.

“Apa yang diperjuangkan Pas ini konsisten walaupun ditempelak kerana menghentikan kerjasama dengan Bersatu sebelum ini. Pas ada prinsip yang perlu dihormati,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung kelmarin membuktikan kesungguhan Pas selaku peneraju gabungan itu untuk menyatukan pelbagai pihak di bawah satu wadah perjuangan yang sama.

Katanya, agenda penyatuan ummah terus menjadi ke­utamaan dalam usaha memperkukuhkan kedudukan PN sebagai blok politik yang bersedia menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.

Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan penyertaan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang sebelum ini mempunyai kaitan dengan Bersatu sebagai perkembangan positif kepada gabungan ber­kenaan.

“Pejuang dan PCM atau parti Wawasan ini adalah serpihan yang berpecah dengan Bersatu sebelum ini, kini kembali bertaut dalam satu wadah yang sama.

“Perbezaan yang ada tidak harus menjarakkan hubungan dan perjuangan sesama kita pada hari ini kerana kita mempunyai satu matlamat yang sama,” katanya.

Tambah beliau, fokus utama ketika ini adalah memastikan PN terus memperkukuhkan jentera dan sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal berlangsung dalam masa terdekat.

“Apa yang penting adalah agenda memastikan nama PN terus dijulang dalam dua PRN mendatang termasuk PRN Me­laka yang semakin hampir. Kami malah akan memastikan persediaan yang rapi bagi menghadapi PRU16 kelak, insya-Allah,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×