BESUT: Pendekatan ‘luar kotak’ diambil Surau Al-Amin Padang Tapong di sini, membolehkannya dinobatkan sebagai johan pertandingan surau terbaik sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1448H/2026M, baru-baru ini.
Kemenangan itu sekali gus membuktikan surau kecil di kawasan pedalaman mampu tampil aktif dan menjadi pusat penyatuan masyarakat menerusi pelbagai program kemasyarakatan serta keagamaan yang kreatif.
Imam Surau Al-Amin, Mohd. Uzair Asyraf Mohd Zaharani berkata, kejayaan tersebut bukan hanya bergantung kepada aspek fizikal surau semata-mata yang bersih dan cantik, sebaliknya hasil kesungguhan jawatankuasa serta penduduk mengimarahkan rumah ibadah itu.
“Antara program utama yang menjadi perhatian juri adalah ziarah rumah ke rumah yang dilaksanakan secara konsisten setiap Rabu sejak 2013.
“Program itu diasaskan oleh bapa saya, Mohamad Zaharani Omar yang merupakan penasihat surau ini, pada awalnya dilakukan secara bersendirian sebelum berkembang menjadi aktiviti mingguan melibatkan ahli jawatankuasa dan jemaah surau,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Tapong.
Menurut Mohd. Uzair Asyraf, tujuan program seperti itu dilaksanakan bagi mengeratkan ukhuwah dan mendekati masyarakat supaya mereka berasa dekat dengan surau.
Katanya, pendekatan turun padang dan bertemu penduduk secara bersemuka berjaya menarik lebih ramai penduduk khususnya golongan muda hadir menunaikan solat berjemaah di surau.
“Antara strategi kami adalah mendekati golongan muda melalui aktiviti sukan seperti bola sepak.
Selain itu, kami mengadakan program iktikaf, kuliah agama mingguan dan latihan pengurusan jenazah untuk tarik minat mereka mendalami ilmu agama,” katanya.
Beliau berkata, pengurusan surau juga aktif menjalankan gotong-royong membaiki rumah penduduk kurang berkemampuan menggunakan dana tabung serta sumbangan masyarakat.
Katanya, pelaksanaan program-program berkenaan menjadi kekuatan mereka dan antara faktor surau Al-Amin dipilih sebagai johan.
Menurutnya, pihak pengurusan pada awalnya hampir menarik diri daripada pertandingan kerana kekangan kewangan dan kekurangan persiapan.
“Kami rasa tidak mampu kerana persiapan pertandingan memerlukan kos namun dengan semangat jemaah dan bantuan penduduk, semua persiapan dapat dilakukan dalam tempoh kira-kira tiga minggu,” katanya.
Kemenangan itu melayakkan Surau Al-Amin membawa pulang wang tunai RM4,000 serta sijil penghargaan.
Surau yang mula dibina sekitar tahun 1970 itu turut dinaik taraf kepada struktur kekal hasil sumbangan orang ramai dengan kerja pembinaan bermula pada 2023 dan siap sepenuhnya awal tahun ini.-UTUSAN.











