KPDN lancar dana RM1 juta tampung kos penilaian harta intelek

KPDN lancar dana RM1 juta tampung kos penilaian harta intelek

ARMIZAN Mohd. Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak RM1 juta diperuntukkan sebagai dana perintis bagi membantu syarikat tempatan mendapatkan penilaian profesional terhadap aset harta intelek mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, dana berkenaan merupakan antara dua inisiatif baharu yang dilancarkan KPDN melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Menurutnya, Dana Pembiayaan Penilaian Harta Intelek itu membolehkan aset tidak ketara syarikat dinilai secara rasmi bagi menyokong pembiayaan perbankan, pelesenan dan pelaburan.

“Langkah itu penting khususnya kepada syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana berasaskan teknologi yang sering berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan kerana kekurangan cagaran fizikal.

“Inisiatif tersebut dilancarkan sempena Persidangan dan Pameran Kebangsaan Pengkomersialan Harta Intelek (IP CONFEX) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program dua hari yang bermula sejak semalam itu telah menghimpunkan lebih daripada 500 peserta yang terdiri daripada pemain industri, institusi kewangan, penyelidik, inovator serta agensi kerajaan berkaitan harta intelek.

Pada masa sama, MyIPO turut memperkenalkan Modul Penilaian Harta Intelek pertama di Malaysia bagi mewujudkan piawaian penilaian lebih seragam dan melatih penilai tempatan.

Armizan berkata, kedua-dua inisiatif itu saling melengkapi kerana dana membantu syarikat mendapatkan perkhidmatan penilaian, manakala modul berkenaan memperkukuh kepakaran dan piawaian penilaian.

Katanya, menurut Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO), nilai aset tidak ketara dunia meningkat 13 kali ganda dalam tempoh 25 tahun sehingga mencecah AS$80 trilion.

“Malah, lebih 90 peratus nilai syarikat terkemuka dalam indeks S&P 500 kini disokong oleh kekuatan aset tidak ketara, termasuk harta intelek.

“Inisiatif itu juga selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang meletakkan inovasi dan pengkomersialan harta intelek sebagai antara enjin pertumbuhan ekonomi baharu.

“Usaha berkenaan turut bertujuan memastikan hasil penyelidikan dan pembangunan tempatan tidak hanya terhenti di makmal, sebaliknya dapat dinilai, dikomersialkan dan dimanfaatkan untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, IP CONFEX 2026 turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyIPO dengan enam organisasi bagi memperkukuh perkongsian kepakaran, pembangunan kapasiti dan pengkomersialan harta intelek tempatan.

“IP CONFEX 2026 turut menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara MyIPO dengan WIPO, Universiti Multimedia (MMU), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) serta Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN