PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuat kuasa mulai 21 April ini secara berperingkat.
Ia melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif ini dilaksanakan bertujuan menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik.
“KPM akan membekalkan lencana Jalur Gemilang sebanyak dua unit secara percuma bagi semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026.
“Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan bawah KPM disediakan yang disertakan bersama Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025.
“Ia sebagai panduan tentang tatacara pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid,” katanya hari ini.
KPM berkata, inisiatif ini bertepatan dengan fungsi institusi pendidikan untuk menyemai rasa cinta akan negara dan menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. – UTUSAN