PGA Briged Utara rampas rokok putih, kretek tanpa cukai - Utusan Malaysia

PGA Briged Utara rampas rokok putih, kretek tanpa cukai

ROKOK tanpa cukai yang dirampas dalam operasi Op Kontraban di sebuah pasar mini di Jalan Bagan Datoh, Hutan Melintang semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas rokok pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM47,389.26 dalam operasi Op Kontraban di sebuah pasar mini di Jalan Bagan Datoh, Hutan Melintang di sini semalam.

Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam serbuan pada pukul 1.30 petang oleh cawangan risik Batalion 3 PGA Bidor itu, sebanyak 16,753 batang rokok putih dan 6,668 batang rokok kretek dirampas.

Katanya, seorang lelaki berusia 64 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis turut di tahan untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan di kedai tersebut menemukan 1,730 kotak rokok yang disyaki rokok tidak sah. Tangkapan dibuat terhadap lelaki itu dan dia dibawa ke Balai Polis Hutan Melintang bersama barang rampasan untuk siasatan lanjut.

“Suspek dilepaskan dengan jaminan selepas keterangannya direkodkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Shahrum, pihaknya komited membanteras kegiatan penyeludupan kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil malah mengancam keselamatan negara.

“Pemantauan secara lebih efektif akan terus dipertingkatkan di samping penguatkuasaan tegas terhadap sindiket penyeludupan ini.

“Kegiatan menyalahi undang-undang ini sentiasa berada dalam radar pemerhatian kita terutamanya di kawasan utara meliputi negeri Perak, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN