PETALING JAYA: Pemerkasaan ekonomi bumiputera serta agenda Melayu dan Islam mesti dibangkitkan semula tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap masyarakat perlu memberikan respons positif ke arah usaha murni memacu hasrat berkenaan.
Katanya, perkara itu dapat dilihat sejak penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sehingga berjaya meraih pencapaian yang membanggakan.
“Kuantiti (alumni MARA) sahaja tidak mencukupi kerana kita mahukan kualiti. Kita harap 10 tahun akan datang, pada 2050, kita akan melihat keindukan negara berpandukan satu akar tunjang yang mempunyai satu akidah dan satu akar dengan kita.
“Jadi, wajib kita memartabatkan dalam masyarakat majmuk yang hidup dalam kepelbagaian. Soal keindukan mesti menjadi agenda utama,” katanya semasa berucap dalam Majlis Peluncuran Wakaf Mara Madani sempena sambutan Hari Mara ke-59 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.
Wakaf Mara Madani merupakan sebuah agenda pemerkasaan sosioekonomi bumiputera hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB2024).
Matlamat utama penubuhannya adalah menjadi pemangkin dalam mewujudkan masyarakat bumiputera dengan kesejahteraan sosioekonomi melalui instrumen wakaf secara lestari.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyeru seramai 2.8 juta alumni MARA dari pelbagai institusi menyumbang ke dalam tabung wakaf berkenaan.
“Kalau setiap seorang menyumbang RM1 setiap bulan, kita dapat mengumpulkan hampir tiga juta sebulan, dan setahun boleh mencecah lebih RM30 juta.
“Inilah masanya untuk kita membalas budi kepada MARA yang sudah memberikan banyak sumbangan. Inilah semangat produk alumni pendidikan MARA,” katanya.
Sehingga kini, Mara telah melahirkan hampir 2.8 juta alumni merangkumi ekosistem pendidikan dan latihan seperti Maktab Rendah Sains Mara, Pusat Giat Mara dan Universiti Kuala Lumpur.











