Penjualan peralatan optik secara dalam talian dilarang - Utusan Malaysia

Penjualan peralatan optik secara dalam talian dilarang

SEBANYAK 183,642 unit kanta lekap dan cecair pembersih tidak berdaftar dengan dianggarkan bernilai RM500,000 dirampas MDA. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjualan peralatan optik termasuk kanta lekap secara dalam talian adalah dilarang selepas arahan itu dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Ketua Eksekutif MDA, Dr. P. Muralitharan berkata, larangan tersebut bertujuan memastikan keselamatan pengguna serta mengelakkan risiko kesihatan mata yang boleh berpunca daripada penggunaan peralatan optik tanpa preskripsi atau nasihat pakar.

Beliau berkata, alat optik dan kanta lekap diklasifikasikan sebagai peranti perubatan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) serta tertakluk kepada Akta Optik 1991 (Akta 469).

“Jualan bagi barangan ini hanya boleh dilakukan oleh juruoptik atau optometris berdaftar.

“Sebarang penjualan kanta lekap dan alat optik secara dalam talian tanpa preskripsi sah boleh membawa risiko kesihatan serius, termasuk jangkitan mata, kerosakan kornea dan masalah penglihatan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, MDA menegaskan tidak akan mengeluarkan sebarang kelulusan bagi iklan atau promosi yang membabitkan penjualan alat optik dan kanta lekap secara dalam talian.

“Mana-mana pihak yang melanggar larangan ini boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau hukuman penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dr. Muralitharan turut memberi amaran kepada platform e-dagang yang masih menawarkan jualan peralatan optik secara tidak sah agar serta-merta menghentikan aktiviti tersebut.

“Sebarang pengiklanan berhubung produk terbabit yang melanggar undang-undang hendaklah diturunkan sebelum berdepan tindakan tegas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN