SUNGAI PETANI: Seorang peniaga perabot terpakai mendakwa kerugian lebih RM800,000 selepas gudang miliknya yang menyimpan pelbagai jenis barangan musnah dalam kebakaran di Jalan Sungai Jagung, Lencongan Barat di sini, petang semalam.
Lebih malang, kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu turut menyebabkan perabot yang baru tiba dari Singapura dan dalam proses dibaik pulih turut hangus dijilat api.
Pemilik perniagaan, Mohd. Ashri Mohd. Halim, 55, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian melalui panggilan telefon oleh seorang pekerjanya, yang mana gudang terlibat turut dijadikan pusat jualan.
“Kami bercuti pada hari kejadian dan ketika itu penjaga gudang berada dalam biliknya sebelum dia dimaklumkan oleh pekerja sebuah kedai makan bersebelahan yang melihat api sedang membakar bahagian tepi sebelah kiri premis.
“Penjaga terbabit berlari keluar sebelum memberitahu saya tentang kebakaran itu, kami pada awalnya berusaha memadam api selepas menelefon bomba,” katanya ketika ditemui.
Menurut Mohd Asri, kesemua perabot merangkumi katil kayu, almari, tilam, kerusi dan meja terpakai musnah terbakar bersama dokumen penting perniagaan yang diusahakan lebih 14 tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 5.45 petang sebelum bergegas ke lokasi bersama 12 anggota dan sebuah jentera.
“Kami turut menerima bantuan jentera BBP Tikam Batu dan Yan serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bedong, Sungai Petani dan Bukit Selambau. Api berjaya dikawal pada pukul 6.13 petang.
“Bagaimanapun, kebakaran itu memusnahkan 80 peratus gudang berkenaan bersama perabot tetapi tidak melibatkan sebarang kecederaan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya. – UTUSAN